HULU SELANGOR - Kemalangan melibatkan sebuah treler membawa muatan kapur putih yang terbalik di Kilometer 432.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan jam 11.44 pagi tadi menyebabkan kesesakan hampir 7 kilometer.
Menurut laman Twitter Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) sehingga jam 3.47 petang tadi, trafik bergerak perlahan dari Bukit Beruntung ke Sungai Buaya ekoran penutupan lorong kiri di lokasi kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Azman Ab Rahman berkata, kemalangan membabitkan sebuah treler membawa muatan kapur putih dan sebuah lori kontena dengan muatan jongkong timah.
Menurutnya, kemalangan berlaku semasa treler berkenaan dalam perjalanan dari arah Ipoh menghala ke Shah Alam.
"Sampai di tempat kejadian, treler terbabit dilanggar sebuah lori kontena dari arah belakang sehingga menyebabkan treler itu terbalik di lorong kiri dan tengah lebuh raya.
"Dalam kemalangan ini, pemandu treler berusia 61 tahun mengalami luka kecil manakala pemandu lori kontena berusia 40 tahun tiada sebarang kecederaan.
"Hanya lorong paling kanan dibuka untuk lalu lintas dengan kesesakan sepanjang lebih kurang 7 kilometer ke arah selatan," katanya.