Pecat Speaker sengaja ditimbulkan 'tangan ghaib'

Iklan
Elizebeth Wong

SHAH ALAM - Desas-desus mengenai isu undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari didakwa sengaja disemarakkan oleh ‘tangan ghaib’ yang berniat mewujudkan ketidakstabilan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Elizabeth Wong berkata, khabar angin berhubung pemecatan Speaker Kerajaan Negeri, Ng Suee Lim juga didakwa sengaja direka bagi mewujudkan ketegangan antara Amirudin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia sekaligus bertujuan memecah belah penyatuan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.

"Bisik-bisik kononnya Menteri Besar Selangor berhadapan ancaman undi tidak percaya adalah desas-desus sengaja disemarakkan oleh tangan ghaib yang berhasrat mewujudkan ketidakstabilan dalam pentadbiran negeri Selangor.

Iklan

"Ada pihak yang akan sentiasa intai peluang untuk menimbulkan polemik tidak berasas demi kepentingan politik. Saya yakin rakyat Selangor bijak menilai,” katanya.

Mengulas perjumpaan Amirudin dan pimpinan parti PH hari ini, Elizabeth berkata, itu bukanlah perkara luar biasa.

Iklan

"Perjumpaan seperti itu kerap diadakan bagi membincangkan isu semasa menjelang pembentangan belanjawan Negeri Selangor tahun 2020 dalam tempoh tiga bulan lagi.

"Mesyuarat bersama pemimpin PH hari ini telah dijadual dan dimaklumkan kepada Biro Politik PKR Selangor sejak bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elizabeth yang juga ADUN Bukit Lanjan menjelaskan, majlis pertemuan Amirudin dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijadual malam ini pula adalah lawatan rasmi

Ahli Parlimen Gombak itu untuk menyantuni orang ramai di peringkat akar umbi.

Ia katanya, sebagai satu perkara dalam usaha menyiapkan Rancangan Malaysia ke 12 (RMK12) sebelum pembentangannya di Dewan Rakyat hujung tahun ini.

"Selangor bukan negeri pertama dilawat Mohamed Azmin kerana sebelum beliau ada berkunjung ke Melaka (5 Julai); Johor (11 Julai); Perak (22 Julai); Sabah (26 Julai); Sarawak (27 Julai) dan beberapa negeri lain bagi tujuan sama.

"Pertemuan dalam majlis makan malam tersebut akan disusuli sesi Sesi Libat Urus Penyediaan RMK12 Kerajaan Negeri Selangor bersama Kementerian Hal Ehwal Ekonomi esok.

"Kerajaan Selangor akan menghantar beberapa cadangan untuk memenuhi permintaan dan keperluan semasa rakyat negeri ini,” katanya.