BATU PAHAT - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat berjaya menumpaskan satu sindiket curi motosikal di daerah ini dengan tertangkapnya 19 ahli kumpulan 'Geng Cilik Ijan' dalam Ops Lejang Khas Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Muhammad Izzudin Runggai berkata, sindiket yang aktif mencuri motosikal di sekitar Ayer Hitam dan Yong Peng tersebut lumpuh selepas dua ahlinya ditahan di dalam ops berkenaan selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.
"Ketika pemeriksaan, kami dapati dua motosikal yang ditunggang oleh suspek masing-masing berumur 17 tahun itu adalah motosikal curi yang telah dilaporkan hilang oleh pemiliknya sebelum ini.
"Hasil daripada soal siasat, kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes curi motosikal dan modus operandi mereka adalah dengan bergerak dalam kumpulan serta dibahagikan dengan tugas tertentu," katanya pada sidang akhbar di IPD Batu Pahat, hari ini.
Menurutnya, hasil daripada tangkapan pertama ini turut membawa kepada penemuan tiga buah motosikal, tujuh rangka motosikal, empat enjin motosikal dan beberapa komponen serta perkakasan motosikal di sebuah premis di Yong Peng.
Katanya, turut ditahan adalah 17 lagi ahli sindiket berkenaan berumur di antara 14 hingga 37 tahun di sekitar Yong Peng dan Ayer Hitam dan 18 daripada 19 ahli sindiket berkenaan merupakan pelajar sekolah.
"Siasatan awal mendapati, ahli sindiket ini yang mula aktif kira-kira tiga bulan lalu dibahagikan dengan beberapa tugasan seperti mencuri, meleraikan komponen dan melupuskan barang curi bagi mengelakkan kegiatan haram mereka ini dikesan oleh pihak polis.
"Kami percaya dengan tertangkapnya ahli sindiket ini, kami telah berjaya menyelesaikan 10 kes curi motosikal dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.