'Maaf saya tiada komen'

Iklan
Ng Suee Lim

SHAH ALAM - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim enggan mengulas tujuan empat Exco Kerajaan Negeri Selangor yang dititah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan itu berkata, beliau tidak terlibat dengan pertemuan itu dan tidak boleh memberikan sebarang komen mengenainya.

Iklan
Iklan

"Maaf! Saya tak terlibat dengan program menghadap Tuanku Sultan.. Jadi tiada komen ya," tulisnya melalui aplikasi WhatsApp kepada Sinar Harian hari ini.

Hari ini Sinar Harian melaporkan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Khim; Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau; Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han dan Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Hee Loy Sian dilihat memasuki pekarangan istana pada jam 10.40 pagi tadi.

Iklan

Kesemua mereka dipercayai menghadap baginda Sultan Selangor berhubung isu cadangan pindaan enakmen membabitkan pemelukan agama Islam yang sepatutnya dibawa dalam Sidang DUN Selangor, akhir bulan lalu.

Suee Lim berkata, beliau telah menggalas tugas sebagai Speaker DUN Selangor mengikut peraturan ditetapkan.

Iklan

"Saya sebagai Speaker sentiasa bertindak mengendalikan urusan aturan mesyuarat dewan dengan tertib dan mengikut Peraturan 2 Mesyuarat Dewan Negeri Selangor 1965," katanya.

Bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo sebelum ini mendakwa punca tempoh Sidang DUN Selangor dipendekkan kepada dua hari disebabkan ada usaha membentangkan satu rang undang-undang (pindaan) kemasukan agama Islam.

Mengikut jadual, persidangan sepatutnya berlangsung selama sembilan hari bermula 29 Julai hingga 9 Ogos, namun mesyuarat yang bermula Isnin lalu hanya berlangsung dua hari.

Mohamad Khir dalam satu kenyataan memaklumkan apa yang berlaku itu adalah sejarah baharu tercatat di DUN Selangor yang merupakan manifestasi dari Malaysia Baharu acuan Pakatan Harapan (PH).

"Usul pindaan ini adalah untuk mengemaskini proses seseorang ke agama Islam, maksudnya ia hanya melibatkan individu beragama Islam sahaja.

"Tindakan Speaker dari DAP menghalang Menteri Besar membawa usul tersebut adalah amat menjijikkan, lebih-lebih lagi melakukannya melalui pintu belakang," katanya dalam satu kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN: 4 Exco dipanggil menghadap Sultan Selangor