KUANTAN - Penduduk kampung sekitar kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd menyokong sekiranya kerajaan membenarkan kilang tersebut terus beroperasi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, masyarakat kini menerima bahawa Lynas berbeza berbanding apa yang disyaki dulu.
Menurutnya, sebelum ini ketika Lynas belum beroperasi, saya sendiri menentang cadangan untuk membina kilang itu di sini.
"Kita dimomokkan dengan kesan radiasi dan pelbagai lagi keburukan terhadap penduduk.
"Kononnya pelaburan akan tergendala, harga hartanah akan merudum dan macam-macam lagi. Namun, tahun demi tahun saya mengikuti berkembangan Lynas sehingga tahun keempat saya dapati tiada apa yang dikhuatirkan itu berlaku.
"Saya sedar saya mungkin salah dan buka hati untuk menerima fakta dan realiti itu," katanya.
Beliau berkata, bukan sahaja harga hartanah makin meningkat di Beserah, bahkan kawasan perumahan semakin banyak dengan kedai-kedai dan industri mula berkembang dengan baik.
Sementara itu, Pengerusi MPKK Kampung Sungai Ular, Shamshul Azlin Abdul Wahid berkata, Lynas sentiasa mengambil berat isu keselamatan dan kepentingan penduduk.
"Kampung Sungai Ular terletak berhampiran Gebeng. Saya dapati banyak kilang lain yang wujud tetapi kenapa Lynas menjadi isu.
"Lynas ada datang ke kampung beri penerangan dan ambil pandangan penduduk. Sehingga kini walaupun kilang ini dipolitikkan, pihak Lynas masih ambil berat isu keselamatan penduduk. Penduduk sekitar percaya Lynas dipolitikkan mungkin ada agenda lain," katanya.
Beliau berkata, operasi kilang memproses nadir bumi itu memberi perkembangan yang baik dari sudut sosial dan ekonomi penduduk setempat terutamanya dari sudut pekerjaan kepada anak muda tempatan.
"Kami berdoa agar tidak ada perkara buruk berlaku bukan sahaja kepada Lynas tapi semua kilang di kawasan penduduk.
"Setakat ini kebajikan sosial penduduk dijaga oleh Lynas dan kami amat berterima kasih. Harap diteruskan operasi kilang itu di sini," katanya.
Presiden Majlis Belia Pahang, Wan Emril Wan Embong pula berkata, dakwaan bahawa Lynas mendatangkan bahaya radiasi kepada penduduk adalah permainan persepsi politik, bukan berdasarkan fakta.
"Pada 2012 dulu kita panggil para pengkaji yang kaji dari segi saintifik untuk membuktikan bahawa ia selamat. Lynas dijadikan modal politik semata mata untuk menjayakan agenda pihak tertentu bagi menghalang peluang negara kita menjadi industri pemaju nadir bumi.
"Kita menyokong apabila kerajaan nak menyambung lesen Lynas. Ini 'foreign direct investment' dari negara luar.
"Dahulu kita orang muda pun tak yakin apabila diwarkan dalam media sosial bahawa banyak perkara buruk daripada kebaikan.
"Namun selepas tujuh tahun benda ni nampak banyak mendatangkan kebaikan terutama anak anak kampung yang mendapat pekerjaan. Ramai dah mampu beli rumah dan banyak kilang tumbuh. Kampung Sungau Ular ni dikenali sebagai kampung tradisi kini dah maju," katanya.
Terdahulu kira-kira 1,500 jemaah menunaikan solat hajat di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 di sini malam semalam bagi memohon mempermudah segala urusan Lynas dan pekerjanya.