Janda Baik perlu kekal sebagai kampung tradisi Melayu

Iklan
Penduduk Kampung Janda Baik membantah rancangan pembangunan projek mega atas nama ekopelancongan bertaraf antarabangsa kerana dikhuatiri bakal melenyapkan kampung Melayu tradisional dan mengancam alam sekitar di kawasan tersebut. (Gambar kecil, Shariffa Sabrina)

SHAH ALAM - Pertubuhan Perlindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menggesa Kerajaan Pahang membatalkan projek Rancangan Khas Kawasan (RKK) di Janda Baik, Pahang.

Presidennya, Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, rancangan pembangunan di kampung Melayu tradisional bagi menjadikan ia sebagai kawasan ekopelancongan bertaraf antarabangsa tidak akan memberi apa-apa kebaikan kepada penduduk mahupun alam sekitar.

Iklan
Iklan

"Biarlah Janda Baik kekal sebagai kampung Melayu tradisional. Bila berlaku pembangunan pendudukan menjadi mangsa kerana kemungkinan besar keuntungan yang diperoleh tidak memihak kepada penduduk. Bahkan mereka mungkin kehilangan tanah dan tempat tinggal.

"Kita perlu tahu bentuk muka bumi Janda Baik adalah berbukit dan apabila pembangunan dijalankan pasti akan bawa musibah seperti tanah runtuh, air sungai kotor, anak sungai kering dan sungai semakin sempit. Pada saya tidak ada kebaikan pun pembangunan ini," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Kelmarin, penduduk Kampung Janda Baik membantah rancangan pembangunan projek mega atas nama ekopelancongan bertaraf antarabangsa kerana dikhuatiri bakal melenyapkan kampung Melayu tradisional dan mengancam alam sekitar di kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, Shariffa Sabrina berkata, keaslian Janda Baik sebenarnya menjadi faktor tarikan kepada kehadiran pelancong dalam dan luar negara datang ke kawasan tersebut.

Iklan

"Pelancong datang ke negara kita nak melihat dan menikmati keindahan alam dan bukan pembangunan. Jika pembangunan yang mahu disajikan, negara-negara maju jauh lebih bagus daripada kita.

"Daripada sibuk mahu menambah pembangunan di negara ini elok kiranya kerajaan mengambil pendekatan memelihara, memulihara dan melindungi alam sekitar kita. Sajikan kepada pelancong apa yang menarik tentang Malaysia," katanya.

Jelasnya, peruntukan bagi tujuan pembangunan sepatutnya disalurkan kepada sektor yang benar-benar memerlukan seperti pendidikan dan kesihatan negara.

"Berapa banyak sekolah daif yang memerlukan bantuan untuk membaiki bilik darjah, berapa ramai anak-anak perlu berjalan kaki meredah hutan untuk ke sekolah dan bagaimana kritikal hospital di negara kita di mana pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

"Pastikan kemudahan dan infrastruktur di negara ini berada pada tahap terbaik terlebih dahulu.

"Saya tahu kenapa ada yang bersungguh-sungguh nak laksanakan projek ini. Ini semua berkaitan dengan keuntungan dan wang semata-mata," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk Janda Baik bantah RKK