JELI - Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kuala Balah kini sudah siap sepenuhnya dan dijadualkan beroperasi penghujung September ini.
Timbalan Pengerusi Kesedar Wilayah Kelantan Selatan, Dr Aminuddin Yaacob berkata, R&R yang menjadi mercu tanda Kuala Balah itu bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat selain pengguna laluan Jeli-Dabong.
"Terletak di laluan alternatif yang menghubungkan Jeli-Dabong dengan Kuala Lumpur dan negeri di utara tanah air, R&R ini akan menjadi lokasi tumpuan pengguna jalan raya selain penduduk setempat sebaik dibuka nanti.
"R&R yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk ruang niaga dan ruang makan selain tandas, surau, tempat letak kereta, taman permainan kanak-kanak serta dewan serba guna ini juga akan menjadi pusat pengembangan ekonomi penduduk setempat," katanya.
Aminuddin sebelum itu hadir ke pemeriksaan audit R&R Kuala Balah dan Plaza IMT-GT Bukit Bunga di sini semalam.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti peniaga yang bakal mengisi ruang niaga di R&R berkenaan dan kini hanya menunggu untuk dibuka secara rasmi tidak lama lagi.
Menurutnya, R&R yang menelan perbelanjaan kira-kira RM4 juta itu turut akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Sementara itu, mengulas mengenai Plaza IMT-GT, Aminuddin berkata, projek usahasama antara Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan kerajaan negeri itu kini di fasa terakhir pembinaan dan dijangka beroperasi penghujung tahun ini.
Katanya, ia akan berperanan sebagai pusat sehenti bagi penduduk setempat apabila turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada peniaga dan orang ramai termasuk Pos Malaysia, perbankan dan ruang urus niaga.