Bilakah kisah PPR akan berakhir?

Iklan
Gambar hiasan - Foto sumber internet

BARU-BARU ini isu lif di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di Pantai Dalam, Kuala Lumpur menjadi bualan.

Lif berkenaan dikatakan terhempas hingga menyebabkan lapan orang mengalami kecederaan.

Iklan
Iklan

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan yang turun padang melihat sendiri apa yang berlaku mahu tindakan segera diambil.

Susulan itu, beliau akan mengadakan perbincangan dengan 11 kontraktor yang dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyelenggara lebih 500 lif di ibu negara.

Iklan

Mengikut rekod semasa, lif di pangsapuri berkenaan mendapat khidmat penyelenggaraan secara berkala.

Namun persoalannya, jika sudah diselenggara dengan baik, mengapa boleh terjadi perkara seumpama itu? Apa punca sebenarnya?

Iklan

Siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati ia berhenti secara mengejut.

Ketua Pengarah JKKP, Omar Mat Piah berkata, lif itu berhenti di ‘pit’ yang terletak kira-kira dua meter daripada penampan bawah tanah.

Pemeriksaan yang dijalankan mendapati tali sawat lif berada dalam keadaan baik, sistem lif juga berfungsi dengan baik termasuk brek.

PPR bukan hanya berdepan dengan masalah lif rosak. Daripada tiga lif yang disediakan, pasti satu akan rosak.

Jika dua lif, pasti satu akan rosak. Itu sudah menjadi kebiasaan penduduk PPR itu sejak awal-awal penubuhan lagi.

Tidak kiralah di mana, sama ada di Kuala Lumpur atau di kawasan-kawasan lain, hal lif rosak memang sudah menjadi masalah biasa.

Mengapa agaknya perkara ini berlaku? Siapa yang tidak buat kerja? Atau pihak penyelenggara sudah letih hendak buat servis memandangkan sikap penduduk yang tidak pandai menjaga harta benda awam?

Ada juga lif di PPR yang sudah tidak ada butang untuk ditekan. Tidak hanya itu, ada kejadian di mana pintu lif tidak boleh ditutup, terpaksalah penduduk menariknya.

Penulis sendiri pernah naik lif di PPR yang mana pintu tidak tutup rapat. Bahaya sungguh untuk kanak-kanak.

Bagi penduduk, itu hanya perkara biasa. Ada juga yang tidak henti-henti menghubungi pihak DBKL mengadu nasib.

Ada yang cepat dibaiki, ada yang makan berbulan baru dibaiki.

Apalah nasib penduduk PPR ini.

Ada juga masalah lif rosak yang tidak sampai setahun sudah rosak. Ia berlaku di Krubong, Melaka.

Kasihan penduduk di situ apabila terpaksa naik turun tangga hingga ke tingkat sembilan. Bukan sikit-sikit tangga nak panjat.

Tidak hanya lif, malah kisah PPR ini pelbagai rencamnya. Selain masalah lif, masalah parkir juga antara masalah utama.

Namun, sejak beberapa tahun lalu, ada usaha untuk membantu penduduk. Binaan parkir bertingkat untuk kemudahan penduduk dijalankan.

Ada yang sudah siap, ada yang masih dalam kerja-kerja pembinaan dan tidak kurang yang terhenti di tengah jalan.

Masalah kontraktor, katanya.

Namun, di sebalik menyalahkan pihak lain, mentaliti penduduk sebenarnya perlu ditingkatkan.

Sikap vandalisme, acuh tak acuh, kotor dan macam-macam lagi adalah daripada diri sendiri.

Jika tidak, kes baling kerusi tidak berlaku tahun lalu di PPR Pantai Dalam.

Penulis melihat kejadian buang sampah dari tingkat atas (lebih tingkat 10) yang membuang plastik sampah hitam ke bawah.

Penulis yang membuat laporan siaran langsung ketika itu terkejut dengan dentuman kuat. Jika tidak ada bumbung, pasti sudah mengenai kepala penulis.

Sikap malas, pengotor dan tidak menghargai kemudahan yang sudah disediakan itulah yang perlu berubah.

Jika tidak, sampai bila-bila masalah lif rosak, busuk dan kotor akan terus menyelubungi penduduk PPR.

Buatlah macam mana pun, selenggaralah hari-hari pun, tetap akan berlaku masalah jika sikap sesetengah penduduk yang ambil mudah sahaja.

*Haslina AR Kamaludin ialah Penolong Editor Sinar Online