Kerjasama semua parti perlu untuk kukuh, stabilkan kerajaan

Iklan
Syafie

KOTA KINABALU - Kerjasama semua parti kerajaan di Sabah sangat penting untuk memastikan kerajaan terus kukuh dan stabil.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sehubungan itu persefahaman dalam kalangan parti kerajaan perlu dipertingkatkan demi memajukan lagi negeri ini.

Iklan
Iklan

"Kalau ada kerjasama dan persefahaman maka kerajaan dapat menuntut hak-hak Sabah. Apa yang penting dan kita beri keutamaan adalah keperluan rakyat Sabah.

"Sebagai kerajaan yang stabil kita akan teruskan tuntut hak-hak berkenaan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam sempena Majlis Ulang Tahun Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) di sini malam ini.

Hadir sama, Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Presiden Kehormat UPKO, Tan Sri Bernard Giluk Dompok dan pengerusi penganjur acara berkenaan Setiausaha Agung UPKO Nelson Angang.

Iklan

Parti kerajaan yang sama-sama membentuk kerajaan baharu di Sabah selepas pilihan raya umum lalu adalah PKR, DAP, UPKO dan Warisan.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melebarkan sayap di negeri ini sejak April lalu sekali gus menjadi salah satu parti kerajaan di Sabah.

Sementara, Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, banyak cabaran dan rintangan perlu ditempuhi untuk memastikan sesebuah parti terus kekal relevan.

"Saya tahu banyak cabaran yang dihadapi UPKO sejak ditubuhkan namun parti ini berjaya melahirkan ramai pemimpin sama ada di peringkat negeri dan persekutuan.

"Contohnya, Dompok yang pernah menjadi Ketua Menteri Sabah dan menteri di peringkat persekutuan," katanya. - Bernama