KUALA LUMPUR - Pas sedia bekerjasama dengan kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam setiap langkah diambil bagi mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara.
Kesediaan itu dinyatakan Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, dalam konteks solidariti pembangkang Pas akan terus bersama-sama parti-parti lain bagi memastikan wujud semak dan imbang dalam kerajaan PH.
"Terutama melalui nasihat dan menawarkan opsyen-opsyen terbaik agar kerajaan dapat berperanan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Mengulas mengenai Umno, Takiyuddin berkata, parti teras dalam politik Malaysia itu perlu terus diperkasakan strukturnya demi membolehkan Umno berperanan menyuburkan amalan demokrasi dalam negara ini.
"Pas merasakan kepimpinan baru Umno diterajui Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan perlu diberikan peluang untuk merangka strategi bagi memimpin jutaan ahli Umno yang memerlukan hala tuju dan menjalani cara ‘berpolitik baru’.
"Terutama selepas tidak lagi menjadi Kerajaan Persekutuan selepas PRU14 lalu,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau berharap mana-mana pihak termasuk Pas tidak lagi memberi komen kosong mengenai penggabungan dengan parti itu.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, ini kerana Umno sendiri tidak pernah membuat keputusan untuk bergabung dengan mana-mana pihak.