GPMS cadang tubuh jawatankuasa pantau kutipan wang masjid

Iklan
Surat pekeliling yang dikeluarkan JHEAIPP yang tular di media sosial. (Gambar kecil, Azdy)

GEORGETOWN - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang mencadangkan sebuah jawatankuasa pemantau ditubuhkan bagi memantau Tabung Wakaf Sumbangan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Ketua penerangannya, Azdy Mohd Arshad berkata, penubuhan jawatankuasa itu bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan tabung berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tujuan jawatankuasa itu juga bagi membolehkan pemantauan dibuat ke atas kutipan wang masjid yang akan dilaksanakan MAINPP itu nanti.

"Sekiranya MAINPP masih mahu mengutip wang tersebut, GPMS Pulau Pinang mencadangkan sebuah jawatankuasa pemantau ditubuhkan.

Iklan

"Ia bagi memantau, mengurus, membuat perancangan strategik selain menjadi pihak yang bertanggungjawab meluluskan sebarang bentuk perbelanjaan atau pelaburan ke atas dana yang dikumpul," katanya ketika dihubungi tadi.

Azdy berkata, tindakan MAINPP melaksanakan kutipan wang masjid untuk dimasukkan ke tabung wakaf adalah tidak wajar sama sekali.

Iklan

"Walau apa pun alasan, ia tidak wajar kerana majoriti masjid di negeri ini diurus sendiri oleh jawatankuasa yang dilantik tanpa mengharapkan dana daripada kerajaan atau MAINPP. Hasil pendapatan utama kebanyakan masjid di negeri ini adalah melalui kutipan sumbangan orang ramai khususnya ketika solat Jumaat.

"Ia digunakan untuk bayaran utiliti, elaun imam atau bilal tambahan, pembiayaan program anjuran masjid, kos penyelenggaraan, pembaikan masjid dan sebagainya. Kesemua ini memerlukan dana yang tinggi dan kadangkala hasil kutipan yang dikumpul juga tidak mencukupi," katanya.

Katanya lagi, ahli jawatankuasa pemantau tersebut perlu dilantik dalam kalangan profesional dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Islam negeri ini.

"Ahli-ahlinya perlu merangkumi golongan profesional antaranya tokoh korporat, akauntan, peguam atau lain-lain yang mempunyai ilmu, pengalaman dan kepakaran dalam bidang masing-masing. Kami mencadangkan mereka yang dilantik bebas daripada pengaruh politik dan tidak mempunyai kepentingan dalam mana-mana parti politik.

"Ia bagi memastikan jawatankuasa pemantau ini mempunyai integriti tinggi, bebas membuat keputusan dan tidak menjadi alat mana-mana parti politik termasuklah Kerajaan Pulau Pinang serta pihak berkuasa negeri. Wang yang dikutip juga perlu diurus dengan telus dan efisien, jangan pula ia digunakan untuk pembelian bangunan atau tanah yang tidak strategik atau gagal dalam aspek 'return on investment' yang akan mendatangkan kerugian," katanya.

Tambahnya, pihaknya berharap agar cadangan tersebut diberi perhatian serius oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan MAINPP.

"Perlu diingat, tabung ini adalah milik umat Islam Pulau Pinang dan ia adalah amanah yang perlu diuruskan dengan baik dan penuh tanggungjawab.

"JHEAIPP dan MAINPP perlu memastikan ia tidak disalahguna sekaligus mengkhianati amanah umat Islam," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial surat pekeliling bertarikh 26 Jun yang mengarahkan semua masjid di Pulau Pinang menyumbang sebanyak 10 peratus hasil kutipan tabung setiap Jumaat, setiap bulan kepada tabung wakaf berkenaan.

Arahan yang berkuatkuasa bulan lalu itu bagaimanapun dibantah beberapa pihak kerana dirasakan tindakan itu tidak wajar berikutan MAINPP mengambil sebahagian daripada kutipan tabung tersebut.