MEKSIPUN terpaksa beraksi dengan 10 pemain bagi tempoh lebih 45 minit, Terengganu FC (TFC) berjaya mengekalkan rentak permainan berkualiti untuk mengejutkan Kedah dengan meraih kemenangan 2-0 pada aksi kedua Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Darul Aman semalam.
Pemangku Ketua Jurulatihnya, Nafuzi Zain mengakui bangga dengan prestasi ditunjukkan anak buahnya biarpun mereka berdepan pasukan yang baru sahaja dinobatkan sebagai juara Piala FA 2019 dua minggu lalu.
Jelasnya, dari beberapa sudut seperti fizikal dan juga prestasi semasa, Kedah lebih mendominasi perlawanan berbanding TFC, namun ia tidak melemahkan semangat pasukannya untuk beraksi dengan penuh berdisiplin sepanjang perlawanan itu berlangsung.
"Kedah dilihat lebih agresif dengan tonggak utama mereka termasuk pemain-pemain muda yang berkualiti. Apa-apapun saya bangga dengan usaha yang ditunjukkan oleh pemain saya kerana bukan mudah untuk mengatasi tuan rumah dengan dua jaringan apabila beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh lebih 45 minit.
"Saya juga gembira apabila ramai muka baharu TFC yang diberikan ruang untuk beraksi pada perlawanan ini berjaya membuktikan bahawa mereka mampu melaksanakan tugas dengan baik," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.
Pada perlawanan itu gol pembukaan TFC hadir pada minit ke-65, menerusi KIpre Tchetche yang menanduk masuk sepakan percuma kapten pasukan, Lee Andrew Tuck sebelum penyerang import dari Ivory Coast itu meledakkan gol peribadi keduanya pada minit ke-86 untuk mengesahkan kemenangan skuad Penyu.
Tambah Nafuzi yang juga bekas pemain Kedah, beliau berharap kemenangan tersebut akan terus menyuntik semangat pemain-pemainnya untuk memberikan aksi bertenaga ketika berdepan Negeri Sembilan Sabtu depan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, deretan peluang muncul terutamanya pada babak separuh masa kedua namun gagal apabila tidak berjaya diterjemahkan kepada jaringan oleh pemain-pemainnya.
Menurutnya, beliau juga mengakui bahawa nasib tidak menyebelahinya biarpun Lang Merah memberikan tumpuan 100 peratus pada perlawanan tersebut.
"Pemain sudah memberikan segala-segalanya pada perlawanan ini. Saya tidak tahu apa faktornya yang menyebabkan kami kalah dan kami akan membuat penilaian dan perbaiki kelemahan yang ada,” katanya.