KLANG - Kegiatan sindiket curi tembakau sisha dalam kontena yang diimport masuk dari Jordan berjaya dilumpuhkan dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang dan Melaka, baru-baru ini.
Operasi dijalankan susulan laporan kehilangan 1,452 peket tembakau 'molasses' bernilai RM323,000 seberat 11 tan dalam sebuah kontena di Pelabuhan Klang, 17 Jun lalu.
Susulan itu, beberapa serbuan dibuat sekitar Melaka dan Lembah Klang bermula 21 Jun hingga kelmarin berjaya menahan seramai 11 individu termasuk seorang warga Yaman berusia lingkungan 20 hingga 55 tahun.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan mendapati kegiatan terancang itu dilakukan dengan membabitkan peranan dua anggota Kastam.
"Tangkapan ini turut membabitkan peranan seorang lelaki bergelar Datuk berusia 39 tahun yang mempunyai dua rekod jenayah.
"Hasil tangkapan kesemua suspek, polis berjaya menemui semula 74 kotak tembakau 'molasses' pelbagai saiz yang berkait dengan kejadian sebelum ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan hari ini.
Menurutnya, siasatan awal kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan itu mendapati tembakau 'molasses' tersebut tiba di Pelabuhan Klang pada 4 Mei lalu sebelum dilaporkan hilang.
"Soal siasat mendapati ahli sindiket ini aktif sejak setahun lalu dan polis percaya tembakau itu dijual di sekitar Lembah Klang dan Bukit Bintang dengan harga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.
"Bagaimanapun, kita masih menyiasat pembabitan sindiket dengan beberapa kes kehilangan barang seperti arak serta rokok dalam kontena yang melibatkan nilai jutaan ringgit," katanya.
Dalam pada itu Shamsul Amar berkata, seorang lelaki dikenali sebagai Ku Marizan Ku Mansor, 43, yang beralamat Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang dicari bagi membantu siasatan.
"Orang ramai yang mengenali Ku Marizan atau mempunyai maklumat mengenainya diminta tampil di IPD Klang Selatan atau balai polis berhampiran atau hubungi talian 03-33762222," katanya.