KOTA BHARU - Bukan sebab perkauman, namun kredibiliti menteri yang dimiliki P Waytha Moorthy itu sendiri yang menjadi ukuran kepada desakan peletakan jawatannya.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tidak mengira bangsa dan agama, jika tanggungjawab sebagai menteri dan pemimpin itu tidak dibuat dengan baik, maka perkara yang sama juga akan berlaku.
Iklan
Iklan
"Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu beri penilaian kerana sudah lebih 300,000 rakyat mengatakan Waytha Moorthy gagal sebagai menteri yang memegang portfolio perpaduan.
"Kita (Pas) berpandangan tegas dalam isu ini dan kita mempunyai fakta mengatakan menteri itu gagal melaksanakan tanggungjawab beliau. Oleh sebab itu juga kita desak beliau letak jawatan.
"Bukannya sebab beliau sebagai pemimpin kaum India, sebaliknya kegagalannya melaksanakan tugas. Kalau kaum lain yang pegang jawatan itu dan juga gagal jaga perpaduan dengan baik, maka perkara yang sama juga kita lakukan. Kita bukan rasis,” katanya.