TIDAK dinafikan pengaruh sebagai selebriti memberikan impak yang cukup kuat kepada khalayak umum.
Oleh kerana itulah, penyanyi Noh Salleh yang juga merupakan suami kepada penyanyi terkenal, Mizz Nina menggunakan popularitinya untuk menyeru orang ramai melakukan kebaikan.
Kata Mohammad Noh Salleh atau lebih dikenali Noh Hujan detik nurani hatinya bermula selepas melihat kesengsaraan nasib derita anak-anak mangsa perang.
"ALLAH telah berikan sedikit keistimewaan dan pengaruh kepada saya sebagai public figure. Jika saya lepaskannya, bagaimana saya mahu terbitkan kesedaran dan mengajak mereka yang lain melakukan kebaikan.
"Industri muzik ini apa sebenarnya? Ia hanya sekadar hiburan, penuh dengan gosip. Saya tak mahu hidup dalam industri semata-mata untuk terkenal, tidak mahu dipersoalkan kelak di sana,” tuturnya.
Turut aktif terlibat sama menyertai misi kemanusiaan bersama isterinya, pernah terlintas di fikiran penyanyi Angin Kencang itu tentang apa lagi yang dimahukan dalam kehidupan ini selepas melihat kesengsaraan kanak-kanak mangsa perang.
"Mengapa ada di antara kita di Malaysia yang tidak bersyukur? Saya telah melihat perkara yang paling teruk di depan mata, kanak-kanak berusia lima tahun ditembak di bahagian kaki, dibakar sekeluarga.
"Oleh kerana perkara inilah, saya pernah hadapi depresi dan anxiety disorder dua tahun lalu,” katanya.
Lebih merobek hati dan perasaan Noh apabila mendengarkan cerita ada kanak-kanak yang bermimpi ngeri setiap hari, rumah terbakar dan putus kaki.
"Mereka tidak layak menjalani kehidupan yang sangat ekstrem dan itu yang menyebabkan saya tertekan.
"Bila di persimpangan depresi, saya mula mempersoal apa tujuan kita hidup. Saya meminta jawapan Nina dan ia sungguh mudah, untuk menyembah ALLAH,” katanya.
---Berkongsi lebih lanjut penglibatannya dalam misi kemanusiaan, kongsi Noh lagi, kerja amal yang dilakukan sebelum ini bermula dalam ‘keterpaksaan’, bagaimanapun secara tidak langsung telah memupuk kesedaran dalam dirinya.
"Saya teringat salah seorang sukarelawan memberi pandangan ketika perjumpaan di Lubnan. Jelasnya, ia berkaitan pilihan. Kita di Malaysia ada pilihan untuk melakukan apa sahaja.
"Namun di sana, apa pilihan yang mereka ada. Setiap hari ibu bapa melihat anak-anak mati di depan mata kerana tiada apa boleh dilakukan.
"Mendengar kenyataan beliau, saya terus mengalir air mata. Bayangkan kami yang belum ada rezeki untuk menimang cahaya mata pun tidak dapat mengawal kesedihan, inikan mereka yang melaluinya,” katanya.
Dalam perkembangan kerjaya nyanyian, Noh bakal terlibat dalam konsert siri jelajah Pemacu Api Tour 2019 bersama kumpulan muzik Toko Kilat yang akan berlangsung di Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur bermula 17 Ogos sehingga 14 September 2019.