Polis cari waris lelaki maut dilanggar lori

Iklan
Mayat seorang lelaki yang maut selepas dipercayai dilanggar sebuah lori membawa muatan roti di Lebuh AMJ berhampiran Institut Latihan Memandu Kandang, pagi tadi.

MELAKA - Polis sedang mengenal pasti identiti seorang pejalan kaki yang maut akibat dilanggar sebuah lori di Lebuh Alor Gajah, Melaka Tengah, Jasin (AMJ) berhampiran Institut Latihan Memandu Kandang, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala, badan dan kaki.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika lori terbabit yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun sedang dalam perjalanan menghantar bekalan roti dari depoh simpanan roti di Taman Merdeka menghala ke Muar.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu terbabit tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang kuat dari arah hadapan seperti terlanggar sesuatu dan ketika itu keadaan jalan agak gelap.

Iklan

"Sebaik pemandu terbabit memberhentikan lori dan memeriksa di luar kenderaannya didapati terdapat seorang lelaki yang tidak diketahui bangsa serta warganegaranya telah terbaring di tepi jalan.

"Siasatan awal terhadap mangsa mendapati tiada sebarang dokumen pada diri si mati dan mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Iklan

Afzanizar berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kemalangan dan mengesan latar belakang mangsa.

"Siapa yang ada kehilangan ahli keluarga atau majikan yang kehilangan pekerja sejak pagi tadi diharap dapat hadir ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah atau mana-mana balai polis berhampiran untuk pengesahan dan pengecaman mayat.

"Dari pemeriksaan awal fizikal, mangsa disyaki seorang warga asing," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.