APMM tahan bot penumpang tiada lesen operasi

Iklan
Anggota penguat kuasa memeriksa bot berkenaan yang didapati beroperasi tanpa lesen berhampiran Pulau Payar semalam.

KUALA KEDAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah menahan sebuah bot penumpang kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan berhampiran Pulau Payar semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, tangkapan tersebut dilakukan semasa operasi penguatkuasaan bot berlesen siri kedua bersama Jabatan Laut Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Iklan
Iklan

Menurutnya, bot penumpang tersebut diusahakan seorang nakhoda dan tiga pekerja tempatan yang berusia antara 28 hingga 37 tahun.

Anggota penguat kuasa memeriksa bot berkenaan yang didapati beroperasi tanpa lesen berhampiran Pulau Payar semalam.

"Semasa ditahan terdapat pelancong dalam bot berkenaan dan difahamkan bot tersebut dari Pulau Langkawi yang menjalankan aktiviti di sekitar kawasan rekreasi Taman Laut Pulau Payar," katanya menerusi suatu kenyataan, di sini hari ini.

Iklan

Mahmad Faizal berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

"Bot tersebut didapati beroperasi tanpa lesen dan dokumen yang sah serta tidak memiliki perlindungan insurans bot.

Iklan

"Kesemua nakhoda dan pekerja berkenaan ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, APMM akan terus mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di sekitar perairan negeri Kedah serta mengingatkan pemilik bot penumpang agar mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.

"Sebarang aduan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya.