Semua kuil di Wilayah Persekutuan perlu daftar dengan DBKL

Iklan
DBKL
KUALA LUMPUR - Setiap kuil di Wilayah Persekutuan perlu didaftarkan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memastikan status kuil yang dibina di bandaraya ini selain mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab terhadap kuil itu.

Timbalan Menterinya Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh berkata langkah itu juga bagi memudahkan pihak DBKL mengambil tindakan ke atas mana-mana kuil yang tidak didaftarkan.

"Kita telah meminta semua kuil yang ada di Wilayah Persekutuan didaftarkan supaya nanti kita tahu apa status kuil-kuil itu. Apa yang berlaku pada hari ini ialah kita tidak tahu status dan kedudukan kuil telah dibina malah ada kawasan yang banyak kuil tetapi kita tidak tahu kewujudannya.

"Sekiranya tidak didaftarkan dan tidak ada sesiapa bertanggungjawab atas kuil itu, kami akan ambil tindakan,” kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Rumah Baiti Jannati @Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pihaknya masih dalam peringkat perbincangan mengenai tarikh tutup pendaftaran serta jenis tindakan ke atas kuil yang tidak didaftarkan. - Bernama