KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menjelaskan ancaman peluru yang pernah disasarkan ke Pejabat UMNO Pekan pada 12 November 2017 menyebabkan perlindungan keselamatan daripada Unit Tindakan Khas (UTK) ditingkatkan terhadapnya antara 2017 ke 2018.
Ahli Parlimen Pekan itu mendedahkan, ancaman itu membuatkan beliau dikawal ketat dan sekali gus, mencipta persepsi dirinya tidak mesra rakyat.
"Saya baca komen, ada yang tuduh saya menipu mengenai ancaman keselamatan yang berlaku pada 2017. Ini juga sebab perlindungan keselamatan UTK kepada saya ditingkatkan antara 2017 ke 2018. Saya bukannya nak ungkit kisah lama ini.
"Cuma nak jelaskan mengenai persepsi dahulu yang dimainkan Pakatan Harapan (PH) bahawa saya tidak mesra rakyat atau rakyat tidak mudah mendekati saya. Bukan peribadi saya untuk tidak mesra rakyat.
"Najib Razak sejak jadi ADUN dan Ahli Parlimen Pekan sampai hari ini... rakyat diutamakan, setiap hari,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.
Menurut beliau, walaupun berdepan ancaman atau cabaran politik dahulu sehingga kini, pahit manis, beliau tetap berjuang dan bersama dengan rakyat.
"Ini janji dan komitmen saya,” katanya.
Dalam hantaran tersebut juga, Najib turut memaparkan kesan peluru disasarkan pada cermin tingkap bilik pejabatnya, laporan polis yang dibuat wakil pembantu peribadinya sewaktu menjawat jawatan Perdana Menteri.
Dalam Wacana Ilmu Hard Truth: 'Cash Is King' Najib buat pertama kali membongkar kisah ancaman yang pernah diterimanya itu yang didakwa sebagai amaran untuk dirinya.
Bagaimanapun, pembongkaran itu mendapat reaksi negatif dan kritikan daripada pihak lawannya.