KUALA LUMPUR - Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diingatkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, hari ini agar mendapatkan nasihat peguamnya sebelum membuat sebarang hantaran di laman Facebooknya (FB) mengenai keterangan yang dikemukakan di mahkamah.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, hantaran mengenai keterangan dan bukti di mahkamah, terutamanya oleh tertuduh sendiri boleh membawa kepada satu penghinaan mahkamah.
"Pada masa depan, sesiapa yang ingin melakukan hantaran seperti itu perlum mendapatkan nasihat undang-undang sebelum mengambil tindakan. Beberapa hantaran mungkin dibolehkan tetapi kadang-kadang mungkin beberapa hantaran melanggar peraturan,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik notis usul bagi mendapatkan perintah supaya Najib meminta maaf kerana memuatkan hantaran di laman FB berhubung keterangan saksi membabitkan penggunaan kad kredit miliknya.
Dalam prosiding perbicaraan sebelum ini, Mahkamah Tinggi diberitahu, dua kad kredit Najib dibelanjakan sehingga RM3.3 juta dalam masa sehari di butik barangan kemas De Grisogono, Itali pada 8 Ogos 2014.
De Grisogono adalah butik barangan kemas mewah Swiss yang diasaskan di Geneva, Switzerland pada tahun 1993 oleh pakar berlian hitam Itali berasal dari Lubnan, Fawaz Gruosi.
Keterangan mengenai transaksi kad kredit berkenaan dikemukakan bekas Naib Presiden Kanan Kumpulan Ambank, Yeoh Eng Leong.
Sehubungan itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, memaklumkan pihaknya turut menarik balik permohonan untuk membatalkan notis tersebut.
Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Perbicaraan di hadapan Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Selasa ini.- Bernama