Muhyiddin persoal pendedahan Najib

Iklan

PAGOH - Pendedahan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung ancaman penembak tepat (sniper) yang diterima beliau pada November 2017 menimbulkan persoalan kerana ia baru dibangkitkan ketika ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejadian dua tahun lalu itu berlaku ketika Najib menggalas jawatan Perdana Menteri dan mengapa baru sekarang perkara itu didedahkan.

Iklan
Iklan

"Saya baca kenyataan yang beliau luahkan dan terkini ditunjukkan tadi tentang peristiwa pada November 2017. Saya masih ingat waktu kejadian itu beliau masih seorang Perdana Menteri.

"Soal-soal negara ini atas tangan beliau dan kalau ada peristiwa dia ditembak oleh sniper atau sesiapa pun, persoalan yang berbangkit ialah kenapa baru timbul sekarang?

Iklan

"Kedua, apa yang dia buat waktu jadi Perdana Menteri dan paling penting apa Menteri Dalam Negeri dia iaitu tugas yang saya galas kini buat? Apa polis buat?” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Lembu Korban Parlimen Pagoh di Taman Pagoh Jaya hari ini.

Iklan

Muhyiddin berkata, pendedahan itu adalah suatu yang serius dan pihaknya tidak menganggap ia adalah perkara yang boleh dimainkan.

"Jika ini adalah satu perbuatan yang agaknya berniat jahat, ia bukan perkara main-main. Sepatutnya mereka memandang berat ketika itu dan minta agar pihak berkuasa yang sememangnya berada bawah kuasa beliau sebagai Perdana Menteri jalankan siasatan.

"Waktu tu bukan Pakatan Harapan, kami di sebelah pembangkang, tapi dia yang jadi ketua kerajaan jadi agak aneh dan luar biasa,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib tunjuk bukti kesan peluru di Pejabat UMNO Pekan

Tegas beliau, selaku kementerian berkaitan, pihaknya sedia menjalankan siasatan dan tidak akan memandang ringan jika menerima laporan.

"Sekarang pun kalau betul laporan tu ada dibuat, kita tak akan pandang ringan. Kita boleh siasat dan mungkin cari sebab atau punca mengenal pasti siapa terbabit. Bagaimanapun kita serah kepada beliau (Najib) sendiri,” katanya.

Terdahulu, dalam hantaran Facebook Najib, Ahli Parlimen Pekan itu hari ini sekali lagi menegaskan pernah menerima ancaman peluru apabila Ibu Pejabat UMNO Bahagian Pekan telah ditembak dua tahun lalu.