SKUAD wanita negara sekali lagi gagal dalam percubaan keempat merangkul kejuaraan pertama Kejohanan Skuasy Remaja Berpasukan Dunia apabila tewas 0-2 kepada juara bertahan Mesir pada final, di sini hari ini.
Pada aksi di Arena David Nicol, Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil di sini, Mesir merekodkan kejuaraan kali kesembilan sejak 1999 dan ketujuh berturut-turut sejak 2007.
Ini merupakan kekalahan ketiga kepada Mesir di pentas final dengan kesemua keputusan sama iaitu 0-2 pada edisi 2007 dan 2017.
Sebelum itu, Malaysia kalah kepada England 1-2 pada final 2001.
Dalam aksi hari ini, juara tiga kali Terbuka Remaja British, Aifa Azman memulakan saingan skuad negara dengan langkah positif apabila memenangi set pertama 11-6 terhadap Hania El Hammamy.
Bagaimanapun, Hania, yang dinobatkan sebagai juara dunia remaja, minggu lalu, mengubah corak permainan dan ia membuahkan hasil apabila menang tiga set berikutnya dengan keputusan 11-6, 11-9 dan 11-3.
Pada perlawanan kedua, pemain nombor 50 dunia, Farida Mohamed mengesahkan kejuaraan buat Mesir apabila menewaskan Noor Ainaa Amani Ampandi dengan keputusan 11-9, 8-11, 4-11, 11-9 dan 11-4.
Sebelum ini, Mesir menjuarai kejohanan tersebut sebanyak lapan kali iaitu pada1999, 2003, 2007, 2009, 2011, 2013, 2015 dan 2017.
Sementara itu, England dan Hong Kong berkongsi kedudukan tempat ketiga.- Bernama