Sebar khabar angin kerja sia-sia

Iklan
Daroyah

SHAH ALAM - Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menggesa pihak yang menyebarkan khabar angin bertujuan merobohkan permuafakatan pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri ini supaya menghentikan segera perbuatan itu yang didakwa sia-sia dan tidak mendatangkan hasil.

Ketua Wanita PKR Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata, ia merupakan propaganda sengaja dicetuskan pihak tertentu atas rasa iri hati kepada pencapaian cemerlang barisan kepimpinan diterajui Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Iklan
Iklan

Menurutnya, segala khabar angin yang dimainkan tidak memberi kesan malah menambah kekuatan permuafakatan kerajaan negeri untuk terus tekad memberi fokus membangunkan agenda Selangor sebagai ‘Smart State' menjelang 2025.

"Kebelakangan ini, banyak kedengaran khabar angin yang bertujuan mengganggu kestabilan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor antaranya pertukaran menteri besar dan pemecatan Speaker Dewan Negeri Selangor.

Iklan

"Malah majlis pertemuan menteri besar dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) hari ini juga dijadikan isu.

"Wanita PKR Selangor tetap sokong penuh usaha menteri besar dan juga menteri hal ehwal ekonomi serta pimpinan lain yang bekerja keras dalam mengangkat ekonomi dan martabat rakyat sama ada di peringkat negeri juga negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Terdahulu, beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat berkata, kepimpinan Amirudin terus diyakini dan mendapat sokongan penuh bukan sahaja daripada pemimpin PH negeri ini malah pembangkang.

"Wanita PKR Selangor tekad bersama-sama menteri besar memajukan negeri ini, seiring dan sederap memberi khidmat dan keutamaan kepada rakyat,” katanya.