HONG KONG - Ratusan penunjuk perasaan yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda yang memakai baju hitam kelihatan mengedarkan risalah anti-kerajaan kepada penumpang antarabangsa yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, hari ini.
Risalah yang dicetak dalam lebih daripada 16 bahasa itu antara lain tertera ayat,"Harap maafkan kami untuk Hong Kong yang 'tidak dijangka'.”
Selain itu, turut tertera ayat"Anda telah tiba di sebuah bandar yang rosak, bandar yang telah terpisah, bukan seperti yang pernah digambarkan. Namun untuk Hong Kong, kami bertempur.”
Memetik laporan Reuters, aktivis prodemokrasi mengadakan perhimpunan tiga hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dengan harapan dapat memenangi sokongan antarabangsa.
Protes di Hong Kong kini memasuki bulan ketiga itu turut memperlihatkan penunjuk perasaan mempromosikan protes di media sosial dengan kempen tanda palang #FreedomHK #antiELAB dan #StandwithHK.
Menurut jawatankuasa media sosial daripada para penunjuk perasaan, mereka mahu mengulangi tuntutan mereka dan meletakkan kes mereka ‘di hadapan khalayak antarabangsa.
Sementara itu, menurut laman web lapangan terbang itu, lapangan terbang tersebut merupakan hab perjalanan besar-besaran yang menghubungkan bandar raya itu ke lebih 220 destinasi global dan menguruskan 74.7 juta penumpang tahun lepas.
Pihak berkuasa lapangan terbang berkata, hanya penumpang yang berlepas dengan dokumen perjalanan akan dibenarkan memasuki Terminal 1 kerana lapangan terbang dipenuhi penunjuk perasaan.
Pada 26 Julai lalu, beribu-ribu penunjuk perasaan atendan penerbangan berkumpul di lapangan terbang untuk ‘mendidik’ pengunjung mengenai protes yang berlangsung.
Demonstrasi itu menjadi ancaman terbesar kepada pihak berkuasa Beijing sejak penyerahan Hong Kong dari British pada tahun 1997.
Sejak protes besar-besaran itu menjadi semakin ganas, beberapa negara telah meningkatkan amaran perjalanan ke Hong Kong termasuk Amerika Syarikat (AS).