Mural Jalur Gemilang gergasi di bumbung stadium SSINS

Iklan
Empat anak muda dari Kuala Terengganu bergadai nyawa menyiapkan mural gergasi berlatar belakang Jalur Gemilang dan Bendera Terengganu.

KUALA TERENGGANU - Mural Jalur Gemilang gergasi yang melatari bahagian atas bumbung stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) menjadi tarikan baharu sempena sambutan Hari Kebangsaan di Terengganu.

Mural Jalur Gemilang bersama bendera Terengganu bersaiz 90 x 40 kaki persegi itu hasil usaha empat anak muda yang berasal dari Kuala Terengganu iaitu Mohd Fahmi Abdullah Sani, 29; Zulkarnain Abd Latif, 39; Wan Asri Nizam Wan Ismail, 36 dan Raja Badruddin Hakim Shah Raja Kamarul Bahrin, 33.

Iklan
Iklan

Mohd Fahmi berkata, mereka berempat mengambil masa selama 20 hari untuk menyiapkan mural itu yang dimulakan pada 15 Julai lalu.

Katanya, walaupun mempunyai pengalaman dalam penghasilan mural, ia adalah pengalaman pertama yang begitu berharga buat mereka.

Iklan

"Ini kali pertama kami melukis mural pada bahagian atas bumbung (rooftop).

"Melukis mural di atas bumbung ini cabarannya lebih besar berbanding melukis mural gergasi di dinding bangunan kerana perlukan teknik dan kaedah tersendiri.

Iklan

"Tambahan pula, kami terpaksa turun naik ke bangunan lebih tinggi untuk melihat keseluruhan dan keseimbangan lukisan," katanya yang berasal dari Kampung Jalan Terkukur, di sini.

Empat anak muda yang menganggotai Red Rebel Art Squad memeriksa lukisan mural yang dihasilkan.

Mohd Fahmi berkata, inisiatif bersama tiga rakannya itu juga turut mendapat sokongan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

"Kami terpanggil untuk menghasilkan mural Jalur Gemilang sebagai menghayati kemerdekaan negara yang disambut 31 Ogos setiap tahun.

"Sumbangan ini mungkin tidak sebesar mana, namun ia memberi kesan positif kepada orang ramai terutama bagi penghuni bangunan berdekatan yang boleh melihatnya dari atas,” katanya.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, dia bersyukur dan berbangga dengan hasil kerja keras yang dilakukan itu walaupun berdepan cabaran besar.

Baginya, peluang menghasilkan mural Jalur Gemilang adalah penghormatan yang tidak ternilai.

"Walaupun letih dan terpaksa bergadai nyawa. rasa penat itu hilang setelah saya melihat hasil karya kami tersergam di atas bumbung stadium itu," katanya.

Menurutnya, banyak cabaran perlu ditempuh sepanjang menyiapkan mural itu antaranya seperti lantai licin, angin kuat serta hujan secara tiba-tiba.

Namun, katanya ia adalah asam garam yang terpaksa ditempuh bagi pelukis mural.

"Cabaran itu dah macam 'makanan' kami dalam menyiapkan karya baharu, namun, ia berbaloi kerana hasil seni itu secara tidak langsung menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan tahun ini," katanya.

Ditanya berapa lama lukisan itu mampu bertahan, katanya, cat khas yang digunakan mampu bertahan antara empat hingga lima tahun.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, Red Rebel Art Squad yang dianggotai mereka juga bersedia menawarkan khidmat secara percuma menyiapkan mural Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kemerdekaan di sekolah.

"Kami mengalu-alukan mana-mana sekolah yang memerlukan perkhidmatan kami, namun dengan syarat mereka perlu menyediakan keperluan untuk menghasilkan mural," katanya.