JAKARTA, INDONESIA - Status gunung berapi Anak Krakatau yang meletus Sabtu lalu dinaikkan ke tahap tiga iaitu kedua tertinggi di negara ini, 6 pagi tadi.
Amaran itu dikeluarkan selepas aktiviti pembentukan awan panas dikesan susulan letusan dan semburan lava pijar berwarna merah di gunung yang terletak di Cilegon.
Menurut laporan media tempatan, aktiviti tersebut berlaku secara berperingkat sejak letusan Sabtu lalu yang mengakibatkan tsunami di Selat Sunda, Indonesia.
Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Informasi Masyarakat, Sutopo Purwo Nugroho berkata radius zon bahaya diperluaskan kepada 5 kilometer.
"Aktiviti gunung berapi tersebut terus meningkat jadi Kementerian Energi Sumber Daya Manusia (ESDM) telah menaikkkan status Gunung Anak Krakatau daripada waspada (tahap II) kepada siaga (tahap lll).
"Masyarakat dan pelancong dilarang melakukan aktiviti dalam 5 kilometer dari puncak kawah Gunung Anak Krakatau," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Difahamkan mengikut data, gunung tersebut aktif dan memasuki fasa letusan bermula Julai lalu.
"Skala letusan 22 Disember lalu itu kecil jika dibandingkan dengan letusan yang berlaku antara September-Oktober 2018
"Hasil analisis menunjukkan lereng barat daya runtuh dan masuk ke laut. Kemungkinan ini yang memicu berlakunya tsunami," katanya.
Katanya, aktiviti keletusan itu masih berlaku secara berterusan iaitu letusan 'Strombolian' yang disertai lontaran lava pijar dan awan panas.
"Awan panas ini yang mengakibatkan berlakunya hujan abu. Dominan angin mengarah ke barat daya sehingga abu tersebar ke barat daya dan laut.
"Adanya beberapa lapisan angin pada ketinggiaan tertentu mengarah ke timur menyebabkan hujan abu vulkanik tipis turum di Kota Cilegon dan sebahagian kawasan Serang, Banten semalam jam 5.15 petang waktu tempatan,"
Namun katanya kejadian itu tidak bahaya sebaliknya ia menyuburkan tanah.
"Namun orang ramai disarankan mengguna topeng muka dan cermin mata ketika berada di luar rumaah sekiranya berlaku hujan abu.
Setakat ini, 429 nyawa terkorban dalam kejadian tsunami itu dan banyak kerosakan meliputi harta benda dan fasiliti.