Empat lembu korban lesap

Iklan
Mohd Shahit menunjuk tali ikatan lembu dipotong pihak terbabit.

SABAK BERNAM - Empat lembu korban dicuri dalam kejadian di Kampung Parit Baru, Sungai Air Tawar, di sini Rabu lalu.

Setiap lembu korban itu dimiliki empat penternak yang menambat lembu masing-masing di kawasan lapang berhampiran sebuah institusi pengajian di Sungai Lang.

Iklan
Iklan

Difahamkan pembeli membuat tempahan dengan membayar deposit antara RM250 hingga RM2,500 seekor bagi penyembelihan korban sempena Aidiladha, esok.

Seorang pemiliknya, Mohd Shahit Sayuti, 54, berkata, dia menyedari lembu jantan berumur lebih dua tahun itu hilang pada jam 6 petang, Rabu lalu.

Iklan

"Saya mengesyaki lembu ini dilarikan pencuri sekitar jam 4 pagi hari sama.

"Kebetulan saya hanya pergi ke kawasan lapang pada sebelah petang sahaja.

Iklan

"Bila sampai, saya terkejut apabila ternakan sudah hilang dan setelah diperiksa didapati tali ikatan lembu seperti telah dipotong serta disyaki dicuri," katanya.

Katanya, kejadian itu mengakibatkan dia kerugian RM4,500 dan terpaksa memulangkan semula wang deposit berjumlah RM250 kepada pembeli.

"Saya tak sangka ada individu yang tergamak melakukan perbuatan ini dengan mengambil jalan pintas untuk mendapatkan wang dengan cara mencuri," katanya.

Mohd Shahit berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu turut menyusahkan pembeli lembu terbabit.

"Pembeli terpaksa mencari lembu lain untuk ibadah korban dalam masa singkat apatah lagi tiga lembu saya pula sudah ditempah pembeli lain," katanya

Bagi Mohd Azman Khailani, 55, pula berkata, dia bergantung penuh kepada hasil jualan lembu kerana hanya menternak seekor lembu pada satu-satu masa.

"Itulah sahaja seekor lembu yang saya ada untuk dijual musim raya korban tahun ini.

"Saya sudah jaga lembu ini lebih dua tahun, tapi nampaknya tiada rezeki saya kali ini," katanya.

Katanya, dia juga terpaksa memulangkan deposit sebanyak RM2,500 kepada pembeli lembunya itu bagi membolehkan pembeli mendapatkan lembu lain untuk ibadah korban.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon mengesahkan kejadian dan menerima laporan polis daripada mangsa.

Katanya, setakat ini pihaknya hanya menerima dua laporan melibatkan kehilangan dua lembu bernilai RM8, 000 di Sungai Air Tawar.

"Kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.