RAMALLAH - Krisis ekonomi di Palestin telah menyebabkan penduduk di wilayah itu berdepan situasi sukar dan sambutan Aidiladha pada tahun ini turut terkesan.
Menurut kebanyakan penternak, masalah tersebut memberi impak kepada hasil jualan mereka.
Keadaan itu disebabkan kakitangan kerajaan kini mempunyai tempoh beberapa bulan untuk bertahan dengan separuh gaji yang diterima mereka akibat daripada konflik antara Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan Israel.
"Tiada tempahan seperti biasa untuk ibadah korban. Ini adalah paling terburuk dalam tempoh 20 tahun. Terdapat 30,000 kambing biri-biri tidak dapat dijual," kata ketua rumah penyembelihan al-Bireh di tengah Tebing Barat, Ashraf Murar.
Penyembelih ternakan, Mohammed Faara berkata, jualannya menurun 70 peratus pada tahun lalu.
"Keadaan ini sangat teruk. Rakan yang lain turut berdepan masalah ini," ujarnya.
Di sebuah pasar di Nablus di utara Tebing Barat, peniaga kambing biri-biri, Essam Abdullah memberitahu harga jualan telah dikurangkan daripada hampir AS$10 (RM41) sekilogram kepada kira-kira AS$8 (RM33) sekilogram untuk meningkatkan jualan.
"Tetapi, tiada siapa membelinya. Pada tahun ini, terdapat kemelesetan besar berikutan kekurangan bayaran gaji kepada kakitangan kerajaan yang menyebabkan tiada wang dalam pasaran," menurutnya.
Data Bank Dunia menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir tidak berkembang di wilayah Palestin pada 2018 manakala kadar pengangguran berada pada tahap 30 peratus.
Angka pada tahun ini mungkin lebih teruk akibat daripada pemotongan gaji kakitangan awam antara 50 dan 60 peratus.
Krisis pada kali ini turut menjadi bahan jenaka dalam kalangan penduduk Palestin yang berkongsi video kambing biri-biri 'bergerak bebas' atau sedang 'santai berehat'.
Secara tradisinya, ketika sambutan hari raya, penduduk Palestin akan memberi duit raya, namun berbeza pada kali kerana mereka mungkin hanya boleh berjabat tangan.
Sebelum ini, Israel mengutip duti kastam berjumlah kira-kira AS$190 juta (RM796 juta) sebulan terhadap barangan yang dihantar untuk pasaran Palestin melalui pelabuhan negara itu dan memindahkan wang tersebut kepada PA.
Bagaimanapun, ia mula menyekat kira-kira AS$10 juta (RM41 juta) sebulan kononnya sebagai membantah tindakan PA yang menyalurkan bantuan kewangan kepada keluarga tahanan di penjara Israel.
Sejak itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas enggan menerima sebarang bantuan kewangan hingga terpaksa memotong gaji kakitangan awam untuk menyelamatkan kerajaan. - AFP