JOHOR BAHRU - Seorang pemilik kedai cuci kereta di Jalan Yahya Awal, di sini ditemui rentung selepas premisnya musnah dalam satu kebakaran, awal pagi tadi.
Kebakaran dipercayai berlaku kira-kira jam 5.20 pagi di mana premis berkenaan turut didiami tujuh yang lain.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mangsa yang juga lelaki berusia 49 tahun itu gagal melarikan diri selepas terperangkap dalam sebuah bilik ketika sedang tidur.
"Siasatan mendapati ketika kejadian berlaku, empat pekerja sedang mencuci kereta sebelum terdengar bunyi seperti letupan dalam premis tersebut.
"Letupan berkenaan disusuli dengan kebakaran yang telah merebak dengan pantas. Ketika itu, empat pekerja lain termasuk mangsa yang meninggal dunia tidak bekerja dan berada di dalam premis.
"Mangsa dilaporkan tidur seorang diri di dalam bilik manakala tiga pekerjanya berjaya melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Shahurinain berkata, siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berlaku akibat litar pintas.
"Polis percaya kebakaran berpunca akibat sistem pendawaian di dalam rumah berkenaan tidak mengikut piawaian ditetapkan.
"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat manakala pekerja lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.