Lelaki maut ditetak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang

Iklan

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga tempatan maut ditetak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di sebuah taman permainan di Taman Sri Pulai, Kangkar Pulai di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian jam 12.50 tengah malam itu berlaku ketika mangsa berumur 20 tahun sedang minum minuman keras bersama empat rakannya di taman berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kemudian 10 lelaki tidak dikenali yang menaiki tiga kenderaan iaitu Proton Wira, Mitsubishi Storm dan Proton Waja tiba-tiba datang dan menyerang mereka.

"Mangsa ditetak di bahagian kepala dan tangan manakala seorang rakannya yang berusia 21 tahun ditetak di bahagian bahu. Tiga rakan lain tidak mengalami kecederaan.

Iklan

"Difahamkan mangsa yang berlumuran darah dan rakan-rakannya sempat melarikan diri kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian untuk meminta bantuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, orang awam yang melihat kejadian membantu menghubungi ambulans yang tiba 10 minit kemudian.

Iklan

"Bagaimanapun, sebaik sampai di Hospital Sultanah Aminah untuk mendapatkan rawatan mangsa meninggal dunia manakala seorang rakannya yang cedera dalam kejadian itu pula masih dirawat di hospital sama.

"Setakat ini, lima suspek berumur 18 hingga 25 tahun berjaya ditangkap antara jam 10 pagi hingga 4 petang tadi di sekitar Iskandar Puteri dan Skudai," katanya.

Menurutnya, permohonan reman bagi kelima-lima suspek akan dibuat esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kita masih memburu suspek lain dan buat masa ini tidak dapat dipastikan motif sebenar kejadian atau sama ada kumpulan berkenaan ialah kongsi gelap ataupun tidak,” katanya. - Bernama