Gogoh udang gantung semakin dilupakan?

Iklan
Hasil seni Shafie menghasilkan gogoh alat tradisional menangkap udang gantung di sungai Kelong.

TUMPAT - Gogoh sejenis alat menangkap udang bagi penduduk di pinggir sungai semakin dilupakan seiring dengan peredaran zaman.

Diperbuat daripada buluh apabila bilah buluh yang siap diraut dicantumkan dan diikat dengan pokok ribu-ribu bagi menghasilkan alat menangkap udang tradisional ini.

Iklan
Iklan

Kemudiannya gogoh dibenamkan ke dalam sungai bagi memerangkap udang gantung.

Itulah rezeki Shafie Salleh, 73, satu-satunya penduduk di Kampung Kelong di sini masih menggunakan gogoh yang dihasilkan sendiri.

Iklan

Setiap pagi sejak 40 tahun lalu, Shafie mengemudi bot penuh berisi gogoh menyusuri Sungai Kelong untuk menahan udang gantung bagi menyara 13 anaknya.

Shafie di bangsal belakang rumahnya di Kampung Kelong untuk menyiapkan tempahan gogoh.

Shafie berkata, alat tradisional ini semakin dilupakan namun dia tetap mahu mengekalkan warisan ini.

Iklan

"Biar pun sudah tidak ada lagi yang menahan gogoh di sungai Kelong tetapi saya tetap turun ke sungai setiap hari tanpa jemu. Bukan satu tetapi 100 gogoh dibenam ke dalam sungai Kelong untuk menangkap udang gantung.

"Biasanya ia dibenam waktu petang dan selepas subuh keesokannya baru gogoh diangkat dan sehari dapatlah sekitar tiga hingga lima kilogram udang gantung," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Kelong di sini.

Menurutnya, udang gantung semakin pupus dan sukar untuk memperoleh hasil lumayan namun itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk turun ke sungai setiap hari.

Shafie Menyusuri sungai Kelong mencari rezeki dengan menahan gogoh untuk menangkap udang gantung.

Katanya, dia sedar gogoh semakin pupus dan pembuatnya juga sudah tidak ramai kerana tiada pelapis.

"Sebab itu saya pertahankan warisan tradisional ini, saya masih aktif menghasilkannya meski pun yang membelinya sekadar untuk hiasan.

" Tetapi menjelangnya musim tengkujuh ramai yang mencari gogoh kerana udang gantung banyak waktu itu," katanya.

Shafie berkata, gogoh buatannya mampu bertahan setahun dan boleh dibaiki jika mengalami kerosakan kecil dengan menjadikan bangsal di belakang rumahnya tempat membuat gogoh.

Menurutnya, dia menumpukan sepenuh masanya dengan pembuatan gogoh selepas puas merantau di negeri orang sebagai pekerja di pelabuhan.