Serpihan bom komunis masih tersimpan dalam kepala

Iklan
Abdul Razak(kiri) dan isteri, Zaiton Darham menunjukkan gambar kenangan sewaktu dia menerima pingat penghargaan Pingat Jasa Malaysia(PJM) oleh Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien pada tahun 2017.

PARIT BUNTAR - Tanggal tarikh 31 Ogos 2019, negara kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-62 dalam suasana aman dan damai di bawah pentadbiran kerajaan yang progresif dan berdaya saing.

Di sebalik nikmat kemerdekaan dan keamanan dikecapi rakyat Malaysia, tidak ramai generasi muda masa kini yang benar-benar menghayati perjuangan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan dan keamanan pada saat getir negara dilanda ancaman komunis.

Iklan
Iklan

Bagi seorang pejuang tidak didendang, Abdul Razak Ishak,60, pengalaman lebih 18 tahun berkhidmat dengan skuad 9 Rejimen Renjer Diraja sebelum ini pastinya meninggalkan kenangan yang tidak akan dapat dilupakannya sehingga akhir hayat.

Masakan tidak, selain pernah bertempur secara bersemuka dengan sekumpulan ahli komunis, masih tersimpan sebahagian serpihan bom jerangkap samar di dalam kepala Abdul Razak sehingga kini.

Iklan

Menurutnya, kejadian paling diingati itu berlaku sekitar tahun awal 1990-an apabila Abdul Razak yang bertugas di bahagian infrantri skuad 9 Rejimen Renjer Diraja ditempatkan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand iaitu Sadao untuk bekerjasama dengan askar Thailand bagi menghapuskan pengaruh komunis di situ.

"Skuad kami dihantar ke Sadao, Thailand untuk bekerjasama dengan askar Thailand bagi menumpaskan kegiatan kumpulan komunis di sana susulan maklumat perisikan disalurkan tentera negara itu.

Iklan

"Setelah seminggu di sana, kami menerima maklumat perisikan terdapat pergerakan sekumpulan komunis dikesan di dalam kawasan hutan di Sadao,"katanya kepada Sinar Harian sewaktu ditemui di rumahnya di Kampung Parit Lebai Akhir, di sini hari ini.

Abdul Razak menunjukkan buku perkhidmatan tentera yang masih disimpannya sehingga kini.

Turut hadir Ketua Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia(GRVATM), Jais Ambri.

Abdul Razak berkata, susulan itu pihaknya bersama sebahagian askar Thailand dikerahkan masuk ke dalam kawasan hutan dikenal pasti bagi menjejaki kumpulan komunis berkenaan.

Menurutnya, setelah jejak mereka dihidu, pihaknya kemudiannya bersembunyi di balik pokok dan semak-samun di dalam hutan itu untuk menunggu kemunculan ahli komunis berkenaan.

"Saat kumpulan komunis berkenaan memasuki kawasan persembunyian kami tanpa menyedari kehadiran kami, tiba-tiba salah seorang askar Thailand bangkit dari tempat persembunyian, mungkin disebabkan tidak selesa dengan keadaan di situ.

"Tindakan spontan askar Thailand berkenaan menyebabkan lokasi kami terdedah kepada musuh dan kumpulan komunis berkenaan kemudiannya bertindak melepaskan tembakan bertalu-talu dari senapang mereka.

"Mujur tembakan demi tembakan itu tidak mengenai kami dan kumpulan komunis itu segera melarikan diri, jika tidak pastinya kami semua terkorban dalam kejadian itu," katanya.

Abdul Razak menunjukkan keratan berita dari sebuah akhbar cina tempatan siaran tahun 1993 menceritakan keadaan serpihan bom jerangkap samar yang masih tersimpan dalam kepalanya.

Abdul Razak berkata, selain pengalaman bersemuka dengan komunis, pengalaman paling tidak dilupakannya sewaktu berkhidmat demi negara pastinya saat beliau menerima kecederaan di kepala apabila terpijak bom jerangkap samar dipasang anggota komunis.

Menurutnya, sewaktu kejadian, dia bersama skuad askar negara dalam perjalanan untuk mengambil bekalan makanan diturunkan ke dalam kawasan hutan di Sadao melalui pesawat.

"Kejadian itu berlaku seminggu selepas kejadian bersemuka dengan anggota komunis dan ketika itu, kami sedang menaiki sebuah bukit bagi mengambil bekalan makanan yang diterbangkan melalui udara untuk keperluan anggota tentera negara.

"Sedang kami mendaki, saya bersama seorang lagi rakan anggota tentera terpijak satu jerangkap samar dipasang berhampiran sebatang pokok getah sebelum bom diletakkan di dalamnya meletup.

"Kesan letupan itu, saya mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala manakala rakan anggota tercedera di bahagian kaki," katanya.

Abdul Razak berkata, kesan kejadian itu, dia menerima rawatan insentif di Hospital Pulau Pinang selama lebih tiga bulan dan hanya kembali sedar selepas itu.

Menurutnya, doktor merawatnya memaklumkan masih terdapat serpihan bom jerangkap samar yang terperangkap di dalam kepalanya dan ianya tidak dapat dikeluarkan kerana berisiko tinggi.

"Lebih malang, saya mengalami masalah hilang ingatan selama lebih setahun selepas itu dan terpaksa dijaga oleh ibu sehingga kembali pulih.

"Berikutan masalah ingatan masih berterusan, saya pun menamatkan perkhidmatan dalam tentera pada tarikh 22 Oktober 1996," katanya.

Abdul Razak yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak berkata, pengalaman paling tidak dapat dilupakannya itu langsung tidak melunturkan rasa kecintaan dan bangga sepanjang tempoh perkhidmatan kepada negara sebagai perajurit.

Menurutnya, berkat usaha bermati-matian mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman komunis, dia dikurniakan Pingat Jasa Malaysia(PJM) oleh Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien pada 19 november 2017.

"Pada zaman dahulu, generasi muda berlumba-lumba menawarkan diri berkhidmat demi negara kerana rasa kecintaan terhadap negara yang tinggi di samping bersedia menggadaikan nyawa demi memastikan kedaulatan negara Malaysia tercinta terus terpelihara.

"Saya berharap inspirasi sama terus dibawa generasi muda masa kini kerana mereka perlu menyedari pemimpin zaman dahulu terpaksa membayar nilai kemerdekaan dan keamanan dengan harga sangat mahal," katanya.

Jais(kiri) menunjukkan bahagian kepala Abdul Razak yang masih tersimpan serpihan bom jerangkap samar yang meletup.

Abdul Razak turut membidas segelintir pihak yang cuba mengembalikan semangat perjuangan komunis dengan mempersoalkan perjanjian kontrak sosial termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

"Mereka tidak sedar ribuan nyawa terkorban semata-mata untuk menghalang agenda mengancam kedaulatan negara direncana puak komunis sebelum ini.

"Selain itu, saya turut menggesa kerajaan lebih mengambil berat kebajikan anggota bekas tentera yang memerlukan bantuan kerana tanpa mereka, nikmat keamanan tidak dapat dikecapi generasi baharu masa kini," katanya.