Lelaki maut di pusat rekreasi

Iklan
Seorang lelaki maut dipercayai sesak nafas ketika beriadah di Air Terjun Pelangi, Sungai Lembing, dekat sini, pagi tadi.

KUANTAN - Seorang lelaki maut dipercayai sesak nafas ketika beriadah di Air Terjun Pelangi, Sungai Lembing, dekat sini, pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Mohd Sani Harul berkata, mangsa Joshua Sia Hanyang, 31, disahkan telah meninggal dunia ketika anggota tiba di pusat rekreasi tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi Pahang menerima panggilan kecemasan pada jam 10.36 pagi dan mengarahkan Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota bergerak ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sepasukan enam anggota bomba Indera Mahkota bersama dua anggota pasukan Bomba Sukarela Sungai Lembing (PBS) bergerak ke Air Terjun Pelangi dengan menaiki sebuah Toyota Hilux pada 11.30 pagi.

Iklan

"Setibanya di tempat kejadian pada jam 12.58 petang, anggota bomba dimaklumkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.

"Pasukan Bomba menggunakan strecher untuk membawa mayat mangsa keluar ke Base Camp melalui jalan darat dan menyerahkan kepada pihak polis Sungai Lembing untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Iklan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner, Mohd Noor Yusof Ali mengesahkan kejadian itu.

Pihaknya menerima aduan dari seorang kontraktor berusia 33 tahun yang juga rakan si mati memaklumkan telah pergi ke air terjun tersebut sekitar jam 6.45 pagi bersama mangsa.

"Berdasarkan laporan lebih kurang jam 8.45 pagi semasa pengadu berada di kawasan air terjun itu, mendapati mangsa yang ketika itu berada di dalam air telah tengelam dan tidak timbul ke permukaan air.

"Dengan pertolongan beberapa orang yang berada di situ pengadu berjaya menarik mangsa keluar daripada dalam air dan membawa mangsa naik. Semasa itu, pengadu dapati mangsa sudah tidak sedarkan diri. Beberapa orang yang berada di tempat kejadian cuba membantu tetapi mangsa masih tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohd Noor berkata, mangsa dibawa keluar dari lokasi kejadian dengan batuan JBPM.

Hasil siasatan awal ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada kesan luka atau kesan lebam pada mana-mana bahagian tubuh badannya serta tiada unsur jenayah yang berlaku ke atas mangsa.

Mangsa telah dibawa ke rumah mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk tujuan bedah siasat manakala siasatan lanjut masih diteruskan.