Contoh lain ada, kenapa guna bahan lucah?

Iklan
Mohd Razlan

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Mohd Razlan Rafii mengecam tindakan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi yang mendakwa tulisan jawi pernah digunakan untuk bahan lucah pada zaman dahulu.

Razlan berpendapat tindakan Shu Qi menggunakan bahan lucah sebagai contoh adalah kurang bijak dan ketinggalan zaman.

Iklan
Iklan

"Apa yang beliau lakukan, adalah dengan sengaja untuk mencari isu dalam mensensasikan isu ini dan mendapat tepukan dari penyokong DAP dengan memalukan penulisan khat jawi.

"Ahli Parlimen ini harus menghormati perasaan di antara Melayu. Tindakan menggunakan contoh bahan lucah adalah satu perkara yang bodoh dan ketinggalan zaman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Tambah Razlan, menggunakan contoh bagaimana tulisan Jawi digunakan di luar skop agama Islam pada zaman itu turut memalukan seni khat berkenaan.

"Apa yang dilakukan olehnya adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab terhadap negara. Ada banyak contoh yang boleh diambil untuk menunjukkan DAP ikhlas dalam menyokong (pembelajaran tulisan jawi).

Iklan

"Untuk menunjukkan contoh bahan penulisan dalam jawi, ada banyak contoh perjanjian Malaya dengan tulisan jawi dan boleh tunjuk juga (akhbar jawi) Utusan Melayu," katanya.

Razlan yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh mengulas klip video memaparkan ucapan Shu Qi dalam satu majlis dialog bersama Persatuan Tiong Hwa dan wakil 27 persatuan masyarakat Cina pada 9 Ogos lalu di Kluang.

Pada majlis itu, Shu Qi membentangkan dan menerangkan tulisan jawi telah digunakan sebagai sistem tulisan bahasa Melayu sebelum tahun 1956.

Menurutnya, ia tidak terhad kepada penulisan agama Islam sahaja malah turut digunakan untuk mengarang kitab Kristian dan bahan pornografi.

Bagaimanapun hari ini, Shu Qi menyatakan rasa kesal apabila penerangannya berhubung isu pengenalan tulisan jawi oleh Kementerian Pendidikan dipetik di luar konteks oleh pembangkang.

Beliau mendakwa, ucapan tersebut telah diputar belit untuk memainkan sentimen perkauman.

"Ucapan saya telah dirakam tanpa kebenaran oleh seorang pemimpin MCA yang turut hadir.

"Selepas itu, ucapan tersebut telah dimuat naik di akaun media sosial oleh pemimpin Pemuda MCA dengan komen dalam bahasa Cina yang bermaksud, 'Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi menyokong tulisan jawi'.

"Rakaman video tersebut kemudiannya dipadamkan selepas cybertrooper UMNO pula memetik sebahagian rakaman itu untuk memfitnah saya menghina jawi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shu Qi turut mendakwa penyebaran video itu merupakan permainan politik jahat UMNO dan MCA.

"Merujuk kepada ucapan saya yang sama, MCA mendakwa saya menyokong tulisan jawi dengan tujuan menghasut orang Cina.

"UMNO pula mendakwa saya menghina tulisan jawi dengan tujuan menghasut orang Melayu. Begitu terang lagi bersuluh permainan politik jahat mereka,” katanya.