SEREMBAN - Usaha mencari dan menyelamat (SAR) gadis Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang masuk hari kesembilan hari ini diteruskan walaupun dalam keadaan hujan sejak pagi tadi.
Jumlah kekuatan anggota SAR juga bertambah kepada 348 orang setakat jam 10.30 pagi tadi berbanding sebelumnya seramai 296 orang.
Turut serta dalam operasi hari ini, kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dan pengamal media yang berkumpul sejak jam 8 pagi di kaki Gunung Berembun.
Semalam pada jam 12.30 tengah hari, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Pahlawan Mazlan Mansor turun melihat sendiri perjalanan operasi SAR dan mendengar taklimat operasi yang disampaikan Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar.
ARTIKEL BERKAITAN: Nora Anne: Media dipelawa sertai SAR hari kesembilan
Beliau juga berkesempatan menziarahi keluarga mangsa bagi menyampaikan rasa simpati dan memberikan kata-kata semangat dalam menghadapi situasi getir itu.
Sementara itu, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz turut berkenan mencemar duli mengunjungi Balai Polis Pantai bertemu dengan petugas Op SAR yang bertugas pada Hari Raya Aidiladha semalam.
Polis turut mewujudkan hotline yang dikendalikan bilik gerakan Op SAR di Balai Pantai dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi nombor di talian 0111-2285058.