PERTIKAIAN dan perasaan ketidaktentuan antara pemimpin dalam parti komponen PH yang menganggap ‘pelarian politik’ dari Umno adalah satu bebanan, malah membayangkan hubungan dingin terutamanya Bersatu dengan PKR.
Tragedi penghijrahan ahli Parlimen Umno menyertai Bersatu dilihat sebagai modus operandi bagi mengukuhkan saiz partinya.
Memandangkan Bersatu yang memerlukan kuantiti besar sokongan Melayu, mereka berhempas pulas merencana dan memancing wakil rakyat Umno. Pendirian PH khususnya Bersatu yang membenarkan strategi lompat parti akan melemahkan kekuatan oposisi sebagai check and balance dalam proses demokrasi.
Dari segi politik realis, menggunakan apa sahaja pendekatan untuk memastikan matlamat politik sesebuah parti tercapai. Lebih-lebih lagi, berhubung dengan menjuarai kepentingan Melayu sebagai justifikasi. Politik realis Bersatu mungkin merunsingkan PKR, sebaliknya strategi ini dilihat satu ‘kejahatan yang perlu.’- matlamat menghalalkan cara.
Reaksi yang mengejutkan apabila Nurul Izzah Anwar melepaskan jawatan Naib Presiden PKR. Kekesalan Nurul Izzah terhadap kesukaran menyempurnakan agenda reformasi memberi petanda kepada sekutu politik PH untuk menolak opsyen lompat parti.
Tidak kurang, Rafizi Ramli dan Johari Abdul terus bersikap kritikal terhadap kerajaan yang menganggap populariti Tun Dr Mahathir semakin menurun.
Kenyataan ini dibalas dengan dakwaan terdapat cubaan menggulingkan Tun melalui jalan belakang digerakkan. Pertembungan ini memperlihatkan Perang Saraf berlaku dalam PH. Di satu pihak Tun dan Bersatu dianggap meletakkan karakter dirinya untuk dipercayai sebagai pelindung kepentingan Melayu, manakala di kem Anwar dan PKR lebih diyakini mampu mengambil jalan tengah dalam berhubung kepentingan politik Melayu dan bukan Melayu dan penolakan ahli Parlimen untuk melompat parti.
Di celah ketegangan yang dingin ini, Amanah bersedia untuk membuka pintu rundingan kepada pembangkang untuk menyertai parti mereka. Sebaliknya, Penasihat DAP Lim Kit Siang pula menegaskan partinya tidak teragak-agak meninggalkan PH sekiranya Malaysia Baharu diketepikan.
Malah sesuatu yang dijangkakan dengan kemasukan ini telah menghasilkan ‘persenyawaan’ kepada karier politik saki-baki elit Umno yang menganggap partinya telah runtuh kesan teori domino 9 Mei. ‘Perang Dingin’ PH turut menyaksikan keghairahan Bersatu untuk mengisi kekosongan ‘kuasa politik Melayu’ yang ditinggalkan oleh Umno.
Di samping untuk meningkatkan keseimbangan kuasa jumlah ahli Parlimen Bersatu yang kecil iaitu 13 kerusi (kini 16) berbanding PKR memiliki komposisi 50 kerusi diikuti DAP 42.
Dalam hubungan ini, Perdana Menteri dari Bersatu bergantung dengan populariti untuk kekal sebagai personal with government dan personal with interests dalam tempoh kurang satu tahun setengah sebelum melepaskan baton kepada PKR. Selain sokongan politik akan menentukan prospek dan kedudukan sebagai parti Melayu untuk meraih sokongan ahli legislatif.
Dari segi teori realis, parti politik dalam PH akan menggunakan alternatif dalam membuat keputusan yang akan menentukan sebanyak mana pilihan yang akhirnya dapat memaksimumkan keuntungan serta bersedia menghadapi risiko yang bakal diambil. Melihatkan keadaan ini, rasa ketidakpercayaan dan perlumbaan populariti yang semakin menonjol dalam kalangan PKR, Bersatu dan DAP adalah elemen yang tidak dapat dihindarkan.
Bukan setakat reformasi yang dilaungkan PKR dirasakan menjejaskan kedudukan partinya, tetapi ia dianggap memberi implikasi kepada parti gabungan dalam PH khususnya Bersatu yang sedikit berbeza kepentingan dan ideologi dengan PKR.
Sementara itu, sejarah yang berulang telah menentukan corak perjalanan politik semasa yang dianggap tidak lebih daripada pergelutan sejarah yang berlaku masa lalu. Apa yang dipertontonkan ketika gandingan Dr Mahathir dan Anwar pada 1994 telah menumbangkan kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) melalui siri lompat parti kepada BN.
Namun, situasinya berbeza ketika itu kerana Anwar dan Mahathir dalam satu kapal Umno. Walaupun kedua tokoh tersebut pada masa ini juga dalam satu pakatan, tetapi mereka menempah haluan berbeza dalam konteks mengetuai Bersatu sebagai parti Melayu dan PKR pula sebagai parti multietnik.
Pakatan politik yang menggabungkan pelbagai ideologi seperti nasionalisme Melayu Bersatu, demokrat Keadilan, sosialisme DAP kelihatan menghabiskan tenaganya berperang untuk merebut pengaruh. Bersatu seakan-akan mengakui kesukaran menyesuaikan ideologi dan DNA Melayunya dengan ideologi liberal dan sosialis dalam kalangan pemimpin PH.
Tidak kurang juga selepas pemilihan parti, PKR kelihatan bergelut dengan konflik dalaman antara kem Azmin dan Rafizi sehingga menjadi bualan tentang nasibnya akan mengulangi sejarah Parti Semangat 46. Sudah pasti proses pengurusan konflik antara parti politik antara kaum dan parti berdasarkan kaum berhubung dengan kepentingan Melayu dan nasional kadangkalanya membuatkan hubungan Bersatu-PKR dalam keadaan pasang surut.
***Mohd Azizi Jaeh merupakan penuntut PhD Sains Politik UKM & Norhayati Ismail pemegang Ijazah Sarjana Sains Politik UKM