Warga emas melecur ketika selamatkan diri

Iklan
Rumah Ismail hangus 100 peratus dalam kebakaran di Kampung Kebakat.

TUMPAT - Seorang warga emas melecur di badan ketika menyelamatkan diri dalam kebakaran rumah kayu di Kampung Kebakat hari ini.

Ismail Salleh, 61, kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu apabila melecur 40 peratus di badannya akibat bahang panas.

Iklan
Iklan

Kejadian kebakaran pada jam 6.30 pagi disedari kakaknya, Mek Som Salleh, 73, apabila mangsa memanggil namanya dari rumah yang terbakar bersebelahan rumahnya.

"Tiba-tiba dengar nama saya sayup-sayup dipanggil adik (Ismail), saya ketika itu sedang memasak nasi di dapur.

Iklan
Abang ipar mangsa, Jaafar Umat (kanan) menceritakan semula detik cemas menyelamatkan Ismail dalam kebakaran rumah di Kampung Kebakat .

"Bimbang sesuatu yang buruk berlaku kerana dia tinggal bersendirian di rumah itu. Saya buka pintu dapur, alangkah terkejutnya saya tengok api marak membakar rumah adik yang jaraknya hanya sebelah rumah saja," katanya ditemui di lokasi kebakaran hari ini.

Menurutnya, dia terus mengejutkan suami, Jaafar Umat,7, yang tertidur selepas solat subuh serta anak-anak.

Iklan

"Suami saya terus ke rumah adik untuk menyelamatkannya yang terduduk kaku di tangga kerana sudah tidak berdaya untuk melangkah keluar.

"Memang panik ketika itu sebab takut kalau adik tak dapat keluar, api pula makin marak dan ia turut menyambar tingkap dan dinding rumah saya.

"Api marak mungkin di bawah rumah adik ada banyak kayu yang disimpan sebab nak bina rumah anak saudara," katanya.

Jaafar menunjukkan kayu yang di simpan di bawah rumah Ismail hangus terbakar.

Manakala Jaafar berkata, dia azan tiga kali selepas memapah Ismail keluar dari rumah itu.

"Mujurlah adik ipar saya turun dari rumah sebaik nampak saya cuba selamatkan dia. Kalau dia lambat turun sesuatu yang buruk berlaku kerana api ketika itu semakin marak.

"Melihat api menyambar dinding rumah saya, saya azan tiga kali, dengan kuasa ALLAH ia beralih arah dan kami bertindak simbah air di dinding rumah saya untuk mengelak daripada merebak," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Penolong Penguasa Bomba, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.57 pagi.

Katanya, seramai 21 anggota bomba dengan tiga jentera dari Balai Bomba Wakaf Bharu, Tumpat, dan Darul Naim bergegas ke lokasi memadam kebakaran tersebut.

"Rumah terbabit 100 peratus terbakar, punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.