MERSING - Empat aset udara pelbagai agensi penyelamat digerakkan pada operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki dan seorang wanita Singapura yang hilang ketika berkayak di perairan Endau dekat Mersing Khamis lalu.
Pengarah Maritim Malaysia Zon Mersing, Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, SAR masuk hari keempat diperluas kepada 900 batu nautika persegi untuk pencarian dari udara melibatkan lima buah aset.
Menurutnya, bagi pencarian di laut pula diperluas kepada 600 batu nautika persegi dengan jumlah aset laut terlibat adalah tujuh buah aset.
"Tiada petunjuk baharu ditemui, namun kami amat berharap dapat jejaki dan jumpai mangsa dengan melipatgandakan meluaskan sektor pencarian dan penambahan aset udara serta laut.
"Bagi pencarian pesisir pantai pula dilakukan 24 jam bermula dari Mersing ke Rompin dilakukan anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya pada sidang media Ops SAR di Jeti Penumpang Penyabong, Endau hari ini.
Tambahnya, faktor cuaca, penglihatan dan angin kuat merupakan antara cabaran yang dihadapi dalam usaha pencarian mangsa.
Katanya, musim monsun barat daya yang berlaku sekarang di mana angin bertiup dari barat daya menolak ke atas menyebabkan cuaca tidak menentu.
"Sekiranya kayak tenggelam dan berada hampir sama dengan paras air ia akan menyukarkan lagi usaha pencarian, tetapi kita harapkan ia tidak tenggelam.
"Ops SAR biasanya akan dijalankan sehingga hari ketujuh, namun bergantung juga kepada keadaan sekiranya kita menjumpai petunjuk baharu SAR akan disambung," katanya.
Terdahulu, mangsa dikenali sebagai Tan Eng Soon, 62, dan Puah Geok Tin, 57, dilaporkan hilang selepas kayak dinaiki terpisah dengan 13 lagi rakan mereka yang sedang berkayak dari Endau-Mersing menuju ke Pulau Mertang, kira-kira jam 5 petang, Khamis lalu.
Mereka dikatakan terpisah dari kumpulan berikutan laut bergelora dan angin kuat.