Rewang ibadah korban di Karangkraf

Iklan
Kakitangan Karangkraf melapah daging ketika Rewang Ibadah Korban Karangkraf di Shah Alam, Selangor hari ini. - FOTO: ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR/ ROSLI TALIB

SHAH ALAM - Bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Kumpulan Media Karangkraf mengadakan program Rewang Ibadah Korban Karangkraf untuk memberi peluang kepada kakitangannya yang tidak dapat pulang beraya di kampung halaman bagi merasai suasana ibadah korban.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, program Rewang Ibadah Korban Karangkraf adalah acara tradisi di Karangkraf dan diadakan hampir setiap tahun.

Iklan
Iklan
Aktiviti melapah daging dilakukan secara bergotong-royong. - FOTO: ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR/ ROSLI TALIB

"Seperti tahun-tahun sebelumnya, tradisi merewang dan beribadah korban di Kumpulan Media Karangkraf diadakan lagi. Kali ini sebanyak empat ekor lembu disembelih dan ia adalah untuk keluarga besar Karangkraf.

"Alhamdulillah, sambutan baik diterima dalam kalangan kakitangan dan mereka bekerjasama secara bergotong-royong untuk melapah daging dan menyiapkan beberapa jenis hidangan utama iaitu sup tulang, daging gulai kawah dan daging goreng kunyit,” katanya kepada Sinar Harian selepas selesai beribadah korban di pekarangan Karangkraf hari ini.

Iklan
Aktiviti memotong daging untuk dimasak dilakukan secara beramai-ramai. - FOTO: ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR/ ROSLI TALIB

Sementara itu, Pengurus Besar Penerbitan, Harlina Kassim berkata, semua kakitangan yang terlibat dalam program berkenaan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan tugasan.

Beliau yang ditugaskan di bahagian memasak hidangan utama iaitu daging gulai kawah berkata, bahan-bahan untuk dijadikan rempah sudah disiapkan awal-awal lagi.

Iklan
Daging ditimbang sebelum diagihkan.- FOTO: ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR/ ROSLI TALIB

"Saya bersama kakitangan yang ditugaskan di bahagian ini sudah menyiapkan bahan-bahan untuk dijadikan rempah awal lagi. Semalam kami siap mengupas bawang dan mengisarnya.

"Ikutkan kepada tentatif program, kami perlu menyiapkan menu utama ini untuk makan tengah hari dan untuk dinikmati kira-kira 300 kakitangan yang bertugas pada hari ini,” katanya.

Bagi Pengurus 2 Operasi Penerbitan, Mohd Aminuddin Jusoh yang ditugaskan di bahagian melapah daging berkata, suasana dalam program Rewang Ibadah Korban Karangkraf seperti berada di kampung.

Daging gulai kawah antara hidangan utama dalam program Rewang Ibadah Korban Karangkraf di sini. - FOTO: ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR/ ROSLI TALIB

Katanya, walaupun tidak dapat pulang beraya di kampung halaman tetapi apabila melihat suasana beribadah korban di sini ia menjadi kenangan yang sangat mengujakan kerana dilakukan secara bergotong-royong.

"Program sebegini memang akan mengeratkan lagi hubungan sesama kami, semuanya dilakukan secara bersama dan ia adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan,” katanya.