188 warga asing ditahan Imigresen

Iklan
Anggota Imigresen sedang menyusun semua dokumen yang diserahkan pekerja warga asing untuk pemeriksaan selanjutnya.

KUALA TERENGGANU- Seramai 188 pekerja warga asing yang bekerja secara haram ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Rabu lalu.

Kesemua mereka ditahan di tapak pembinaan projek tambahan loji memproses hidrogen dan nitrogen di Kerteh, Kemaman

Iklan
Iklan

Dalam operasi bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 7 malam itu, mereka yang ditahan terdiri daripada 110 lelaki Pakistan, 60 lelaki Bangladesh, 12 lelaki Indonesia dan enam lelaki India.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Terengganu, Ahmad Salihin Salleh berkata, kesemua warga asing yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 47 tahun.

Iklan

Menurutnya, dalam operasi itu, seramai 732 orang telah diperiksa dan pihaknya mendapati 188 daripada mereka melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Seramai 181 daripadanya didapati melakukan kesalahan melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

Iklan

"Manakala lima daripada mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Selain itu, dua lagi yang mana masing-masing dari Pakistan dan Bangladesh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tinggal lebih masa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.