Ganjaran RM50,000 jika Nora Anne berjaya ditemui

Iklan

SEREMBAN - Keluarga Nora Anne Quoirin menawarkan wang ganjaran RM50,000 kepada mana-mana pihak yang menyalurkan maklumat sehingga berjaya menemui anaknya itu yang hilang sejak 4 Ogos lalu (Ahad) di Resort The Dusun Pantai Hill di sini.

Kenyataan itu merupakan kali pertama dibuat oleh ibunya, Maebh Jaseprine Quoirin di hadapan agensi media di Balai Polis Pantai petang tadi.

Iklan
Iklan

"Nora merupakan anak kesayangan pertama kami dan juga anak istimewa kami. Kehilangannya benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepada kami.

ARTIKEL BERKAITAN: Guna suara ibu kejutkan Nora Anne

Iklan

"Kami merayu kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Nora untuk membantu kami mencarinya. Polis telah bekerja keras untuk membawa pulang Nora.

"Sekiranya anda mempunyai apa-apa maklumat, sila hubungi talian hotline polis di talian 011-12285058 atau e-mel ops@lbtrust.org bagi mereka yang di luar Malaysia," katanya.

Iklan

Terdahulu, usaha mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne yang masuk hari kesembilan hari ini diteruskan walaupun dalam keadaan hujan sejak pagi tadi.

Jumlah kekuatan anggota SAR juga bertambah kepada 348 orang setakat jam 10.30 pagi tadi berbanding sebelumnya seramai 296 orang.

Turut serta dalam operasi hari ini, kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dan pengamal media yang berkumpul sejak jam 8 pagi di kaki Gunung Berembun.

Turut kelihatan sekumpulan lima orang pengamal perubatan Islam daripada Rawatan Tradisional Sulafusoleh yang menawarkan diri membantu dalam operasi mencari dan menyelamat Nora Anne.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman turut memaklumkan, pasukan polis dari England, Ireland dan Perancis juga kini berada di Malaysia untuk membantu siasatan berhubung kes kehilangan remaja itu.

Pasukan tersebut berada di sini sejak minggu lalu namun mereka tidak terlibat dalam operasi SAR sebaliknya hanya dari segi siasatan kes.