SHAH ALAM - Luahan seorang pelakon, Yana Samsudin yang berkongsi rasa sedih apabila keluarganya turut terpalit dalam kontroversi sebuah telefilem terbitannya mendapat perhatian Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Dr Asri memuat naik status di Facebooknya menjelaskan isu-isu seperti itu menuntut untuk kita menilai semula pendekatan pengajaran agama Islam yang didedahkan kepada masyarakat di Malaysia.
Berikut status Dr Asri di Facebooknya.
"Isu-isu seperti ini menuntut untuk kita menilai semula pendekatan pengajaran agama Islam yang didedahkan kepada masyarakat kita di Malaysia hari ini. Malaysia memerlukan pendekatan agama yang lebih moderat dan progresif.
Golongan yang terlalu mudah menghukum orang lain sebagai kafir, musuh Islam, anti hukum Islam, anti ulama dan seumpamanya kelihatan menguasai suasana masyarakat. Hukuman mereka itu kebanyakannya atas sikap ekstrem, prajudis, kurang pengetahuan, tidak terdedah kepada kepelbagaian disiplin ilmu, fanatik kepada kumpulan atau pertubuhan atau pemimpin tertentu dan yang sewaktu dengannya.
Mereka jadikan aliran atau kumpulan mereka mengambil tempat agama. Seakan hanya sedikit salah sangka atau pandangan yang tidak seiras dengan kumpulan atau aliran mereka, terus dihukum sebagai anti-Islam, musuh ALLAH, anti penegakan syariah, tidak mahu menegakkan hukum ALLAH dan pelbagai lagi.
Isu-isu seni dan budaya yang memerlukan dimensi dan penelitian yang lebih luas dan terbuka, malangnya cuba disempitkan dengan sentimen pemikiran agama yang sempit tanpa penelitian yang seimbang. Inilah yang sering berlaku.
Saya terlibat sebagai anggota DBP. Dalam mesyuarat kami telah dimaklumkan replika rehal besar itu hendak diturunkan atas faktor keselamatan. Tiba-tiba mereka jadikan ia sebagai isu agama. Padahal rehal itu tidak mewakili agama.
Tulisan jawi juga demikian. Saya menyokong atas dasar warisan. Namun, ada pihak mengangkatnya sebagai isu agama. Kalau isu agama, bagaimana hendak dipaksa kepada orang yang berbeza agama. Di situ lagi sudah salah langkah. (sila lihat rakaman ulasan saya hal ini)
Kita perlu melahirkan lebih ramai golongan agama yang rasional dan mempunyai pemikiran yang seimbang." tulisnya.
Kenyataan di Facebooknya itu dikongsi ekoran kritikan terhadap Yana apabila poster dan sinopsisnya disiarkan di internet.
Sebahagian netizen berpendapat drama tersebut memberi pandangan negatif khususnya terhadap agama Islam.
Terdahulu, pelakon itu meluahkan rasanya menerusi ruang komen pada status di Facebook milik pensyarah Fakulti Pengajian Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Kamilin Jamilin.
Dr Kamilin antara individu yang berkesempatan menonton telefilem tersebut bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Pengerusi Institusi Tahfiz Selangor, PU Hafiz dan ramai lagi ilmuan agama.
Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 31, terpaksa menanggung fitnah selama seminggu gara-gara isu tersebut.