Pencarian Nora Anne masuk hari ke-10 hari ini

Iklan
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, memasuki hari kesepuluh hari ini. - Foto Bernama

NILAI - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, memasuki hari kesepuluh hari ini sejak gadis itu dilaporkan hilang daripada sebuah resort di Pantai, Seremban, 4 Ogos lepas.

Keberadaan dan nasib remaja itu terus menimbulkan tanda tanya bukan sahaja di kalangan masyarakat, bahkan juga dalam kalangan pengamal media tempatan dan antarabangsa yang telah berkampung di lokasi kejadian sejak hari pertama Nora Anne dilaporkan hilang.

Iklan
Iklan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar dalam kenyataan ringkas di aplikasi WhatApps di sini memberitahu media yang mereka dibenarkan mengikuti petugas Op SAR buat kali kedua selepas pelawaan pertama dibuat semalam.

"Anda hendaklah melapor kepada Inspektor Harminder di substek (khemah pusat operasi SAR). Adalah diingatkan risiko keselamatan adalah tanggungjawab sendiri,” katanya ringkas.

Iklan

Operasi bagi mengesan Nora Anne yang memasuki hari kesepuluh hari ini setakat semalam membabitkan 353 anggota, pasukan SAR terbesar setakat ini dengan sidang media akan perkembangan pencarian hari ini dijangka diadakan pada pukul 5 petang ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Operasi SAR Nora Anne diteruskan walaupun hujan

Iklan

Nora Anne disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai oleh keluarganya pada 8 pagi 4 Ogos.

Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

Semalam, ibu kepada remaja istimewa itu, Meabh Jaseprine Quoirin, 46, menawarkan wang ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga menemukan gadis berkenaan. - Bernama