KOTA TINGGI - Seorang bapa tiri dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 10 kali sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melakukan sumbang mahram dengan anak tirinya, Mac lalu.
Tertuduh berusia 61 tahun didakwa melakukan perbuatan itu pada 17 Mac kira-kira jam 2 petang di dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Kota Kecil.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan persetubuhan dengan kanak-kanak berusia 9 tahun yang mana perhubungan dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang atau hukum agama yang terpakai untuk berkahwin dengannya.
Oleh itu tertuduh yang bekerja sebagai tukang rumah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh merayu hukuman dikurangkan kerana mempunyai banyak tanggungan termasuklah rumah dan kereta.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor, Muhammad Qaiyyum Ramlan meminta pihak mahkamah menetapkan hukuman penjara berat atas beberapa alasan.
Katanya, mangsa merupakan kanak-kanak sementara tertuduh sebagai bapa tiri sepatutnya menyayangi mangsa, sebaliknya menggunakan ruang ada untuk merogol dan meliwat mangsa tanpa belas kasihan.
"Mangsa juga kini trauma dan apa yang berlaku menjejaskan masa depannya. Mengambil kepentingan awam di mana hukuman yang dijatuhkan bukan dapat memberi pengajaran kepada tertuduh tetapi mencegah orang lain daripada melakukan perbuatan sama," katanya pada prosiding tersebut.
Hakim Zahilah Mohammad Yusoff kemudian menetapkan hukuman 20 tahun penjara bermula dari tarikh tangkapan dan 10 kali sebatan.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah mengadakan hubungan seks bersama mangsa secara paksaan dan juga meliwat mangsa.
Siasatan juga mendapati bahawa kejadian berlaku di rumah selepas tertuduh menjemput mangsa pulang dari sekolah.
Mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan pemeriksaan mendapati bahawa terdapatnya koyakan lama pada selaput dara dan juga koyakan pada dubur mangsa.