SELEPAS cubaan pertama menganjurkan Showcase Amal Artis Lagenda 90-an mendapat sambutan hebat, Nizam Laksamana melalui Nizam Laksamana Production tampil dengan projek kedua, Showcase Amal Artis Lagenda 90-an 2.0, pada 31 Januari 2020.
Sama seperti projek pertama, showcase kali ini menampilkan rakan-rakan penyanyi rock era 1990-an kapak iaitu Ali XPDC, Sham Visa, Gmie Screen, Amir Ukays, Zarul Umbrella dan Ameng Springs.
Bezanya, kata Nizam Laksamana, pemilihan artis melalui undian ramai dan mendapat kerjasama daripada Hotel Mandarin Court Kuala Lumpur.
Lebih menarik, katanya, showcase 2.0 turut mengundang penyanyi popular, Khai Bahar.
"Selain menyanyikan lagu popularnya, Khai Bahar mungkin akan membawakan satu lagu rock kapak yang pernah menjadi siulan satu ketika dahulu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Katanya, tujuan beliau menganjurkan showcase 2.0 sama seperti sebelum ini iaitu sebagai tanggungjawab sosial membantu rakan-rakan artis yang memerlukan, mengukuhkan ukhuwah sesama mereka dan menghiburkan peminat yang rindukan lagu-lagu era rock kapak.
"Alhamdulillah, showcase yang lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat. Sebahagian daripada kutipan saya agihkan kepada rakan-rakan artis dan keluarga mereka yang memerlukan iaitu Julia Bachok (isteri Allahyarham Saleem Iklim), penyanyi Mamu Abas, cucu Malek Zabarjad, Rashib Rasta (Ekamatra) dan Eddie (Slam),” katanya.
Persembahan amal itu juga katanya, bagi mengumpul dana membantu keluarga asnaf, anak yatim dan menyantuni saudara gelandangan.
"Showcase ini turut menjadi platform terbaik kepada artis yang diundang untuk mendekatkan diri bersama peminat. Di samping berhibur, mereka sebenarnya turut beramal kerana hasil jualan meja itu akan disumbangkan kepada golongan memerlukan.
"Sumbangan yang diberikan tidaklah seberapa tetapi dapat meringankan beban mereka untuk menanggung pelbagai kos terutamanya perubatan,” katanya yang pernah hidup susah ketika zaman remaja.
Selain jualan meja, Nizam Laksamana turut mengalu-alukan sekiranya ada individu, syarikat korporat atau swasta yang berminat untuk menaja showcase tersebut.
"Showcase ini bukan untuk mencari keuntungan tetapi berhibur sambil beramal. Mana-mana individu perseorangan, syarikat korporat atau pihak swasta yang berminat menghulur sumbangan boleh menghubungi saya di talian 019 3997944 atau 018 353 6786 (Remy),” katanya.
Bekas peserta Gegar Vaganza 2 yang popular dengan lagu Gugurnya Bunga Cinta itu berharap sokongan daripada peminat untuk membeli meja yang berharga RM150 (seorang) dan RM1,500 (10 orang).
"Tempat adalah terhad jadi kena booking daripada sekarang. Pejam celik, pejam celik tak lama lagi dah sampai ke tarikh itu.
"Rugi kalau tak menonton showcase 2.0 kerana persembahan artis bertaraf legenda pastinya menghiburkan dan sekaligus mengimbau kenangan lama,” katanya.
Tidak dinafikan kelebihan artis lama berbanding generasi sekarang, kata Nizam Laksamana, mereka tidak kekok untuk menyanyi secara langsung.
Beliau berkata, showcase 2.0 yang bertemakan merah dan denim itu turut mendapat kerjasama Saudagar Seni dengan membawa kempen anti dadah.
Nizam Laksamana berkata, sekiranya showcase 2.0 berjaya, beliau akan memikirkan untuk mengadakan showcase 3.0 dengan skala yang lebih besar.
"Insya-ALLAH, jika ada yang sanggup menaja, memang harapan saya untuk menganjurkan showcase yang lebih besar," katanya.