Tourism Johor bincang isu pengangkutan

Iklan
Zihan (dua dari kiri) dan Exco Pelancongan, Liow Cai Tung (dua dari kanan) ketika sidang media di sini hari ini.

JOHOR BAHRU - Tourism Johor sedang berbincang dengan pihak pengendali perkhidmatan e-hailing dan pengangkutan awam berhubung penyediaan perkhidmatan ke seluruh daerah Johor sempena Tahun Melawat Johor 2020, tahun depan.

Pengarahnya, Zihan Ismail berkata, pihaknya mencadangkan agar pihak pengendali pengangkutan tersebut dapat bersedia untuk melebarkan sayap bagi memudahkan pelancong mengakses antara daerah dengan daerah.

Iklan
Iklan

"Kami akan bincangkan isu bas awam dengan PAJ (Perbadanan Pengangkutan Awam Johor) bagaimana untuk memeriahkan lagi kempen lawat Johor itu. Kami mengharapkan PAJ melebarkan sayap pengangkutan awam ke daerah-daerah lain.

"Kami juga sudah mulakan proses perbincangan dengan pihak Grab dan teksi berhubung isu ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sidang media di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, masalah berkaitan sistem yang sedang dialami pihak Grab kini antara kekangan kelancaran perbincangan yang sedang berjalan.

"Kami sedia maklum dengan sistem baharu Grab yang sedang dibangunkan dan kekangan di sudut itu jadi pihak Grab perlu selesaikan dulu isu sistem itu.

Iklan

"Kami belum bawa lagi ke pihak kerajaan Persekutuan berkaitan isu ini, cuma bincang dengan pihak Grab," katanya.

Beliau juga membayangkan pemandu teksi di negeri ini akan menjadi duta kepada pelancongan Johor susulan golongan ini antara barisan hadapan yang berinteraksi secara langsung dengan pelancong setiap hari.

Dalam pada itu, pihaknya juga telah mengadakan sesi penerangan kepada pengendali perkhidmatan pemandu pelancong Johor berkaitan perkembangan terkini pelancongan negeri ini bulan lalu.