PELAKON, Fizo Omar, 34, menyeru umat Islam untuk menunaikan fardhu haji dan merasai sendiri pengalaman seperti mana yang dilaluinya.
Menurut Fizo lagi, ibadah rukun kelima tersebut mencerminkan diri sendiri ketika menjalankan kewajipan rukun haji.
"Wahai sahabat sekalian, pasanglah niat untuk ke sini dan rasai lah apa yang aku dah lalui.
"Kalau dah mampu tak perlu ditangguh lagi kerana ia bukan sahaja menjalankan rukun, tapi kepada aku pengalaman sebuah perjalanan mengenali diri sendiri dan mengenal kebesaran Sang Pencipta," coret Fizo di Instagramnya sewaktu bermalam di Muzdalifah, Makkah.
Fizo turut mengakui pengalaman yang diperolehnya memberikan keinsafan dan berharap semoga pada masa mendatang dijemput menjadi tetamu ALLAH sekali lagi.
"Bak kata ulama, suasana ini diibaratkan seakan-akan padang Masyar nanti. Beginilah keadaan kita semua menanti saat dipanggil dan dihitung amalan duniawi kita.
"Siapa pun kau tetap sama sahaja. Bayangkan jutaan manusia bermuhasabah diri di Mudzalifah dengan penuh harapan keampuanan dari ALLAH.
"Pelbagai bangsa dari seluruh pelusuk dunia berkumpul dengan niat Lillahitaala tanpa mengira pangkat, darjat dan keturunan. Kita sama sahaja di mata ALLAH, hanya amalan kita sahaja membezakan kita semua," akhirinya.