BESUT - Seorang tukang rumah maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain dalam kejadian di Kampung Pak Da Malik, Jertih malam semalam.
Mangsa, Haliah Hamat, 45, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah dalam kejadian kira-kira jam 9.35 malam itu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa memandu kereta Chevrolet dari arah Alor Lintah menghala ke Kampung Kerandang.
Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian dikatakan kereta mangsa telah terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta Perodua Alza dinaiki lima beranak yang dari arah bertentangan.
"Nahas itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan dada. Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat," katanya.
Sementara itu katanya, pemandu kereta Alza iaitu seorang wanita berusia 31 tahun dan empat penumpang berusia 1 hingga 16 tahun mengalami kecederaan.
"Kesemua mereka telah dihantar Hospital Besut untuk rawatan," katanya.
Menurutnya, kes disiasat menurut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.