SHAH ALAM - Perbincangan dan penilaian hasil siasatan Pasukan Siasatan Bersama (JIT) berkaitan tragedi pesawat MH17 bakal dibuat menerusi satu persidangan antarabangsa berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Sabtu ini.
Bertemakan MH17: The Quest For Justice, persidangan itu dianjurkan secara bersama oleh International Movement for a Just World (JUST), Perdana Global Peace Foundation (PGPF) dan Centre for Research on Globalization (CRG).
Presiden JUST, Dr Chandra Muzaffar berkata, persidangan itu diadakan untuk mengingati mangsa tragedi apabila beberapa waris akan turut serta sebagai panel jemputan.
Menurutnya, kekuatan dan kelemahan penyiasatan dijalankan JIT setakat ini akan dinilai secara objektif termasuk dengan mengemukakan cadangan yang mampu membawa kepada titik kebenaran.
"Matlamatnya adalah untuk memastikan keadilan buat mangsa tragedi.
"Panel persidangan ini juga akan melibatkan beberapa individu terkenal yang telah mengkaji dan menulis mengenai MH17 antaranya Dr Kees Van der Pilj dari Belanda, Peter Haisenko dari Jerman serta Profesor Michel Chossudovsky dan John Philpot dari Kanada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, dokumentari yang menimbulkan persoalan mengenai laporan JIT juga akan menjadi salah satu acara utama apabila pengarahnya, Yana Yerlashova turut hadir untuk berkongsi pandangan.
Selain itu katanya, satu daripada enam sesi perbincangan akan dikhaskan untuk kumpulan Malaysia yang melakukan misi berbahaya bagi memulihkan kotak hitam milik MH17 dari tapak kemalangan di timur Ukraine.
"Pemimpin kumpulan itu, Kolonel Mohd Sakri Hussin telah bersetuju untuk bercakap.
"Diplomat Malaysia yang berpengalaman dan ahli akademik semasa akan berkhidmat sebagai moderator untuk enam sesi persidangan antaranya bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak dan bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Dr Fauziah Mohd Taib,” katanya.
Persidangan dianjurkan secara percuma itu akan dirasmikan oleh Profesor Rektor UIAM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.
Pendaftaran akan bermula jam 7.30 pagi dan prosiding akan berakhir pada jam 6 petang.
Mereka yang menghadiri persidangan itu digalakkan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan.
Sebarang pertanyaan mengenai persidangan boleh merujuk kepada penyelaras, Hassanal Noor Rashid di talian 012-362 1155 atau emel hassanal @ just-international.org dan Nuh Izuddin Ibrahim di talian 018-388 3242 atau emel nuhizu@gmail.com.