MANJUNG - Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago diingatkan supaya tidak biadab dengan mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya membuat keputusan secara bersendirian berkaitan pentadbiran kerajaan termasuk isu tulisan jawi dan seni khat di sekolah.
Ketua Armada Bersatu Bahagian Lumut, Akmal Maradzi menyifatkan dakwaan Charles itu sebagai dangkal dan tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, tindakan wakil rakyat DAP itu dianggap tidak bertanggungjawab kerana bukan sahaja gagal memahami tatacara pentadbiran tetapi juga cuba mewujudkan perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH).
”Armada Bersatu Lumut melihat tindakan Charles ini sebagai amat biadab dan tidak mengetahui hal pentadbiran kerajaan.
"Sedangkan setiap keputusan dibuat hendaklah melalui Kabinet dan Majlis Pimpinan Presiden PH," katanya selepas menghadiri Program Korban Perdana Bersatu Bahagian Lumut di Seri Manjung hari ini.
Dalam perkembangan sama, Akmal turut mempersoalkan Ahli Parlimen Klang itu, mengapa tidak merujuk dahulu dengan pimpinan DAP sebelum melontarkan tuduhan yang tidak berasas tersebut?
"Apakah beliau (Charles) ini amat malas membuat kajian atau bertanyakan kepada pimpinan DAP sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian terhadap Perdana Menteri melalui Facebook rasminya.
"Isu tulisan jawi dan khat ini diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri yang mana ada angotanya adalah daripada parti DAP. Apakah kerana sikap rasis, beliau cuba menutup fakta itu?" soal Akmal lagi.
Selain itu, Akmal turut meluahkan kebimbangan terhadap tindakan Charles itu yang seolah-olah bermotif politik dengan menghasut rakyat khususnya bukan Melayu untuk menolak usaha kerajaan melaksanakan tulisan jawi dan seni khat di sekolah.